Jangan terburu-buru laksana dua penggal - Utusan Malaysia

Jangan terburu-buru laksana dua penggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar yang dihadkan kepada dua penggal sahaja seperti diumumkan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2020 memerlukan kajian menyeluruh sebelum dilaksa­nakan sepenuhnya.

Ini meman­dangkan tugas sebagai Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar tidak hanya terhad atau terikat dalam tempoh ditetapkan kerana ia sepatutnya bergantung kepada tahap prestasi serta kompetensi pemimpin yang dipilih rakyat untuk memegang jawatan itu.

ABU ZAHAR UJANG
ABU ZAHAR UJANG 

Sehubungan itu, veteran politik, Tan Sri Abu Zahar Ujang meminta agar kajian mengenai usul itu dijalankan dengan mengambil kira pandangan rakyat, profesional dan Majlis Raja-Raja sebelum ia dilaksanakan.

“Ini bukan soal masa semata-mata, elok kaji apa pandangan semua pihak kerana pemimpin tidak datang mengikut musim.

“Dengar juga pandangan Majlis Raja-Raja kerana mungkin ada pihak terlupa, lihat juga pada Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu, jangan terlalu terburu-buru,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abu Zahar yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara berkata, tempoh dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

“Ada sisi baik dan buruk jika ia dilaksanakan, sebagai contoh jika seorang pemimpin ini tidak mencapai tahap prestasi ditetapkan, rakyat akan mengalu-alukan dia pergi.

“Tetapi bagaimana pula dengan pemimpin yang benar-benar cemerlang dalam melaksanakan tugas, bukankah satu kerugian kalau dia terpaksa berundur selepas dua penggal, bukan mudah melahirkan pemimpin kerana mereka tidak lahir dalam masa singkat,” katanya.

HASAN MAD
HASAN MAD 

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Me­layu, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, idea tersebut merupakan langkah terbaik untuk mengelakkan situasi yang mana berlakunya pemimpin memegang sesuatu jawatan dalam tempoh terlalu lama.

“Idea pembangunan pemimpin berikutnya boleh teruskan kerana agenda pembangunan dirancang oleh jentera kerajaan, kita juga tidak mahu sesuatu polisi bertukar menjadi terlalu peribadi kepada pemimpin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN