Jangan perkenal cukai baharu - Utusan Malaysia

Jangan perkenal cukai baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kalau tidak mahu membebankan rakyat, kerajaan tidak perlu memperkenalkan cukai baharu dalam Bajet 2019 kerana apa sahaja sistem percukaian akan memberi kesan secara langsung kepada peningkatan kos sara hidup.

Justeru, jika ada cukai yang ingin diperkenalkan, jangan kaitkan langkah tersebut sebagai ‘demi kebaikan rakyat’ kerana alasan itu tidak boleh diterima sama sekali dan lebih baik kerajaan berterus terang mengenai tujuan sebenar cukai tersebut dilakukan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mengambil pendekatan mengurangkan beban rakyat seperti yang pernah dilaungkan mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kerajaan terdahulu dikatakan mengenakan cukai yang banyak terhadap rakyat. Sekiranya kerajaan PH mahu memperkenalkan cukai baharu dan mengutip hasil daripada poket rakyat, bagaimana perkara itu dikatakan mampu membantu mengurangkan beban masyarakat?

“Dalam pembentangan bajet kali ini, kerajaan perlu memandang serius kebajikan rakyat yang telah menaikkan mereka sebagai pentadbir negara. Jangan kecewakan pengundi yang percaya kerajaan kali ini akan memberi layanan baik kepada semua,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, penurunan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta kajian subsidi minyak perlu menjadi keutamaan kerajaan PH dalam pembentangan bajet kali ini.

Katanya, beliau juga berharap agar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada gaji kasar pekerja akan menguntungkan rakyat dari segi simpanan sekali gus membantu ekonomi negara berkembang dengan baik.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, sudah terlalu banyak cukai yang terpaksa ditanggung rakyat ketika ini.

“Kos sara hidup rakyat sangat tinggi kerana mereka dihimpit sistem percukaian dari kiri, kanan atas dan bawah. Pelaksanaan cukai baharu dibimbangi akan menyebabkan masyarakat tertekan serta memberi kesan negatif kepada kemakmuran negara.

“Jika mahu memperkenalkan cukai baharu, lebih elok cukai itu dikenakan kepada mereka yang sangat kaya. Kerajaan PH sepatutnya memanggil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti kami sebelum bajet dibentangkan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang permasalahan rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN