KUALA LUMPUR 23 Okt. – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diingatkan supaya tidak campuri urusan pemilihan kepemimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memandangkan sejak penubuhannya proses tersebut, berjalan lancar.

Presidennya, Zambri Mohd. Isa berkata, setelah melalui puluhan siri pemilihan yang mengikut etika, tatacara dan tradisi GPMS secara harmoni telah menyaksikan proses peralihan kepemimpinannya sentiasa teratur.
Beliau berkata, keprihatinan dan kesungguhan ditunjuk Menteri terhadap GPMS amat dihargai, namun tindakan mengatur soal pemilihan pertubuhan itu amatlah tidak wajar.
“Kami menyambut baik dan berbangga dengan keprihatinan ditunjukkan Menteri, malah kenyataan beliau mengenai hal ehwal GPMS memperlihat keazaman dan keprihatinan luar biasanya tentang perjalanan dan urus tadbir GPMS.
“Namun, perlu diingatkan Menteri tidak campuri soal pemilihan GPMS dan membiarkan urusan itu ditentukan sendiri ahli-ahlinya. Sebarang campur tangan mengenainya amat memalukan dan seolah-olah menunjukkan Syed Saddiq menolak amalan demokrasi dan cuba meletakkan orang berkepentingan sebagai proksi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.- UTUSAN ONLINE











