KOTA BHARU 30 Okt. – Orang ramai dijemput hadir ke majlis jamuan laksa mengisi dana membina bangunan baharu Masjid Al Mukminin Sri Cemerlang di pekarangan pejabat Nukima Sdn Bhd di sini pada Jumaat ini dari pukul 12 tengah hari hingga 5.30 petang.
Pengerusi jawatankuasa masjid, Datuk Norzakiman Othman berkata, tidak ramai mengetahui bahawa di sebalik 20 unit rumah setinggan yang hangus terbakar di Jalan Sri Cemerlang di sini pada 29 September lalu wujudnya masjid lama berusia 40 tahun itu yang terselamat.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya pada masa ini terdesak mengumpul wang berjumlah RM805,000 iaitu baki untuk membayar harga tapak seluas 0.3 hektar bernilai RM 1.8 juta bagi membina masjid baharu kepada pemilik tanah dalam tempoh dua bulan ini.
“Masjid satu tingkat ini telah dibina menggunakan kayu terpakai di kawasan setinggan sejak 1978 lagi dan sejak itu telah berjasa kepada penduduk setempat untuk menunaikan solat jemaah lima waktu sehari.
“Selepas menerima notis pengosongan lot pada 2012, kami membuat keputusan membina bangunan baharu dan telah menandatangani perjanjian membeli tanah dengan pemilik pada Januari lalu dengan bayaran berjumlah RM1.8 juta yang perlu diselesaikan sebelum tarikh matang pada 19 Januari tahun hadapan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, semasa kebakaran besar bulan lalu, hanya sedikit bahagian dinding masjid yang terjejas dan kini operasi masjid berpindah ke bangunan bersebelahan iaitu Damai Terapi Homestay sementara kerja baik pulih dijalankan.
“Sekarang kita giatkan usaha mengumpul duit membayar harga tanah terlebih dahulu dan selepas peringkat ini selesai kita akan menumpukan kepada pembinaan kompleks masjid bernilai RM3.5 juta pula,”katanya.
Beliau berkata, pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad (03-139-01-001634-8) dan Maybank Islamic (5530-3859-2961) di bawah nama Masjid Al-Mukminin Sri Cemerlang.
Untuk sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Norzakiman di talian 019 9144441 atau Setiausaha jawatankuasa masjid, Wan Mat Razali Musa (010 8763837). – UTUSAN ONLINE










