KUALA LUMPUR 29 Okt. – Jaminan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan masih perlu diperhalusi dan ditangani secara bijaksana kerana mungkin terdapat kesan tersembunyi dan jangka panjang.

Atas sebab itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, sebarang konvensyen antarabangsa yang mungkin bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara perlu ditolak, dikaji secara mendalam atau mengambil kira pandangan semua pihak.
Katanya, tindakan terburu-buru kerajaan PH menandatangani konvensyen antarabangsa seperti ICERD dikhuatiri akan meruntuhkan asas pembinaan negara bangsa dan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan dalam kalangan masyarakat yang masih belum bersedia dengan perkara sedemikian.
“MBM menyokong usaha kerajaan dalam mengangkat isu hak asasi manusia, namun ia hendaklah bersesuaian dengan budaya, norma dan adat resam semua bangsa di negara ini.
“Dalam hal ini, PH merupakan kerajaan di sebuah negara yang mendaulatkan Islam, jadi tanggungjawab tersebut bukan hanya memelihara hak kaum majoriti bahkan wajib mempertahankan kepentingan kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy memberitahu, kerajaan PH komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa mengenai ICERD dan selepas mendapat kritikan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau menegaskan ratifikasi itu tidak menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Jufitri memberitahu, MBM menyokong tindakan supaya ratifikasi ICERD dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu bagi mendapat perkenan terlebih dahulu bagi memastikan tindakan tersebut tidak bertentangan dengan wasiat Raja-Raja Melayu sebelum merdeka.
“Kami juga menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand bahawa Malaysia akan terus mempertahankan nilai dan adat resam Asia selain mengambil nilai dari Barat jika tidak bertentangan dengan budaya negara ini,” katanya.










