PENGALAMAN ditipu orang tempatan ketika melancong ke Medan, Indonesia menjadi pengajaran buat gadis ini.
Jamalia Shazmeen Jumaboey menyifatkan kenangan pahit itu menjadikan dirinya lebih kuat dan berhati-hati apabila mahu melancong secara solo selepas ini.
Katanya, ketika itu, dia ke Medan untuk melancong seorang diri dan nasib tidak menyebelahinya apabila ditipu seorang penarik beca.
“Saya suruh hantar ke tempat lain tetapi dia bawa saya ke tempat lain. Mujur tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini ketika itu,” katanya kepada S2.

Katanya, walaupun kejadian itu kecil tetapi ia cukup memberi ingatan kepada dirinya agar lebih berhati-hati ketika melancong. Tambahan pula dia gemar melancong solo.
Katanya, dia tidak mudah percaya sesiapa ketika berada di negara orang dan sentiasa mendapatkan maklumat serta banyak membaca tentang tempat yang hendak dituju.
“Perlu peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.
Walaupun begitu, Jamalia Shazmeen berkata, dia tidak serik untuk melancong secara solo lagi.
Sebaliknya, apa yang berlaku menjadikan dia seorang gadis yang kuat dan pandai berdikari.
Katanya, melancong secara solo mengajarnya erti berdikari dan menyesuaikan diri ke mana sahaja dia pergi.
Sehingga kini, katanya dia sudah menjejak kaki ke Medan, Jogjakarta, Perth, Singapura dan Kota Kinabalu secara solo.
Menurut Jamalia Shazmeen, dia sudah terbiasa bergerak ke mana-mana seorang diri memandangkan kini dia masih melanjutkan pengajian di Australia.
“Saya sambung belajar seorang diri di Australia. Malah menyewa rumah juga seorang diri,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dan Komunikasi di Kingston International College, Australia.
Tambahnya, dia juga bekerja secara sambilan bagi membiayai yuran pengajiannya di negara itu.
Ujarnya, kehidupan seorang diri di luar negara benar-benar menguji dirinya sebagai seorang wanita.










