KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mahu syarikat telekomunikasi memastikan pakej jalur lebar baharu yang ditawarkan benar-benar dapat dinikmati pelanggan.
Gobind berkata, beliau telah meneliti pakej-pakej baharu yang dinyatakan dalam kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam dan mendapati ia tidak menurunkan harga perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada.
“Ini bermaksud bahawa mereka tidak dapat menikmati manfaat daripada pakej-pakej baharu ini dengan serta-merta.
“Saya juga dapati tiada cadangan dibawa untuk mengatasi masalah pengguna perkhidmatan Streamyx yang pada saya, perlu ditangani dengan kadar segera,” katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.
Sehubungan itu, Gobind berkata, beliau akan bertemu dengan wakil-wakil syarikat telekomunikasi untuk membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat. – Bernama











