PADA 10 September lalu, Jack Ma mengumumkan penggantinya dan merancang untuk bersara daripada Kumpulan Alibaba tahun depan pada usia 54 tahun. Dalam tempoh 19 tahun, Ma telah mengetuai syarikat itu dari permulaannya sejak perjumpaan pertama di apartmen, hingga kini yang dikenali sebagai gergasi e-dagang bernilai RM1,700 bilion. Seiring dengan pengumuman tersebut, Daniel Zhang dinamakan pengganti Ma sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba pada 2019.
Kepada ramai orang, Ma adalah wajah Alibaba. Bagaimanapun, sebenarnya ada 17 individu lain yang mengasaskan gergasi e-dagang itu bersama Ma semenjak penubuhannya pada 1999. Tetapi siapa mereka? Untuk mendedahkan 18 anggota pengasas Kumpulan Alibaba, kami memulakan satu kajian untuk mengetahui bagaimana Ma bertemu dengan pengasasnya untuk merealisasikan visi e-dagangnya.
#Kemahiran rangkaian Ma yang mendorong kejayaan pesat Kumpulan Alibaba
Dari laporan iPrice, kami mendapati beberapa pandangan yang unik tentang bagaimana Ma bertemu dengan pengasas-pengasasnya. Antara penemuan penting ialah hubungan Ma dengan pengasas-pengasasnya telah diasaskan menerusi pelbagai saluran seperti bekas pelajar, bekas rakan sekerja, rakan sekerja dan usahawan yang berfikiran sama. Di samping itu, pengasasnya mempunyai pengalaman terdahulu dalam pelbagai industri seperti kewartawanan, perbankan pelaburan, pemaju web, pendidikan dan banyak lagi.
Kepelbagaian kepakaran dalam pasukan pengasas Alibaba sangat berfaedah dalam jangka panjang dan tidak seperti gergasi teknologi lain yang berjaya yang mana mereka biasanya mempunyai tiga atau kurang bilangan pengasas. Oleh itu, pasukan pengasas 18 orang Ma berjaya mencapai kejayaan pada kadar yang cepat, menjadikan mereka syarikat kedua paling berharga di Asia pada 2018.
Visi besar Ma untuk e-dagang sangat meyakinkan juga kerana dia dapat memujuk sejumlah individu yang luar biasa untuk menyertainya. Antara pengasasnya ialah seorang pegawai bank pelaburan bernama Joseph Tsai. Tsai meninggalkan pekerjaan yang memberi gaji tahunan sebanyak RM2,900,000, untuk menyertai usaha perniagaan Ma yang mana dia menerima gaji sebanyak RM200. Lama kelamaan, langkahnya terbukti sebagai keputusan terbaik kerana Tsai kini merupakan Pengerusi Naib Eksekutif dan pengasas bersama Kumpulan Alibaba dan berpangkat sebagai pemegang saham individu kedua terbesar selepas pengerusi Ma.
Ini adalah cerita serupa untuk Simon Xie, yang merupakan Naib Presiden Pasukan Pelaburan China Alibaba hari ini. Xie adalah pakar dalam teknologi maklumat (IT) dan berpeluang bertemu Ma pada tahun 1996. Semasa pertemuan itu, Xie tertarik dengan aura unik Ma dan dia memutuskan untuk mengikuti usaha Ma.
#Luar biasa
Beberapa pengasas Ma berhubung dengannya melalui cara yang luar biasa. Seorang daripada mereka adalah Jin Jianhang, seorang wartawan dan tidak pernah mendengar tentang Jack Ma. Jin Jianhang berhubung dengan Ma ketika dia Presiden di Kementerian Perdagangan Luar Negeri dan Kerjasama Ekonomi (MOFTEC) di China. Dikagumi oleh wawasan Ma untuk ekonomi, Jin Jianhang mengikutinya untuk memulakan Alibaba, menjadikannya sebagai Presiden di Alibaba Group hari ini.
Di sebalik logo ikon syarikat bernilai bilion dolar itu, James Sheng, adalah yang membuat logo senyuman Alibaba dan merupakan pengasas bersama dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Alibaba hari ini. Sheng adalah seorang artis tradisional sejak muda. Dia berpaling kepada seni komersial dan memulakan kariernya sebagai pereka. Dia berkenalan dengan Jack Ma apabila syarikat Sheng diupah untuk merancang laman web China Yellow Pages. Kemudian, Sheng menyertai pertemuan Jack Ma di apartmennya dan menjadi seorang daripada 18 pengasas Alibaba pada 1999.
#Wanita
Antara 18 pengasasnya ialah enam wanita yang kini memegang peranan pengurusan peringkat tinggi seperti Lucy Peng. Beliau baru-baru ini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lazada pada Mac 2018 manakala majoriti ahli pengasas wanita masih memegang peranan penting dalam Alibaba dan anak-anak syarikatnya hari ini.
Ma secara terbuka menyatakan: “Satu daripada sos rahsia Alibaba adalah kita mempunyai banyak wanita”. Sebelum ini, Ma menyatakan bahawa 47 peratus kakitangan Alibaba terdiri daripada wanita dan 33 peratus daripada mereka memegang jawatan kanan.
Lebih penting lagi, kisah-kisah yang disebutkan di atas adalah hanya segelintir kisah-kisah yang unik tentang bagaimana Ma bertemu rakan-rakan pengasasnya sebelum pertemuan pertama Alibaba di apartmen yang terkenal pada 1999.
Jeremy Chew adalah Pemasar Kandungan Kanan iPrice Group (https://iprice.my/)










