IPOH 28 Okt. – Cadangan penubuhan sebuah jabatan khas bagi membanteras jenayah berkaitan alam sekitar tidak sesuai dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini kerana bakal melibatkan penambahan bajet, pegawai dan anggota.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, biarpun cadangan itu amat baik, namun kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan juga perlu diambil kira dalam pertimbangan melaksanakan perkara tersebut.
“Penambahan anggota yang kita minta untuk 69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK) pun masih belum diluluskan oleh pihak kerajaan.
“Bagaimanapun, kita akan fikirkan mengenai cadangan itu, namun penambahan anggota tidak sesuai ketika ini memandangkan kekangan kewangan daripada pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Kejohanan Menembak Persekutuan Antarabangsa (IPSC) Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM di Kompleks Tempur Jarak Dekat, Briged Utara, Ulu Kinta di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah; Komander 69 Komando, Datuk Fisol Salleh dan Pengerusi Majlis Sukan PDRM, Datuk Seri Asri Yusoff.
Mohamad Fuzi diminta mengulas mengenai cadangan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang menyarankan penubuhan jabatan khas dalam usaha membanteras jenayah berkaitan alam sekitar. – UTUSAN ONLINE










