Isu stoking: Maszlee tegaskan keprihatinan semua dipertimbangkan - Utusan Malaysia

Isu stoking: Maszlee tegaskan keprihatinan semua dipertimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Isu pemakaian warna stoking di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang tular susulan daripada penguatkuasaan kasut hitam yang dilaksanakan sepenuhnya pada 2021 mendapat perhatian penuh Kementerian Pendidikan.

Laporan mengenai isu warna stoking itu yang bukan sahaja disiarkan oleh Utusan Malaysia, malah turut mendapat perhatian agensi berita lain termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Walaupun mungkin dianggap remeh bagi segelintir rakyat, namun Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan keprihatinan semua pihak melibatkan warna stoking itu akan dipertimbangkan.

“Saya cakap perkara ‘trivial’ (remeh) kurang satu minit, (tetapi) Utusan Malaysia laporkan, (malah) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (Tun Razak) pun berminat. Saya bincang perkara penting tentang hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?

“Isu ini mungkin remeh bagi sesetengah orang, tapi penting bagi sebahagian yang lain. Saya hargai semua input. Keprihatinan semua termasuk ibu bapa, industri dan semua pemegang taruh akan dipertimbangkan dengan baik,” katanya dalam laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Semalam, Maszlee dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan mengejut ke Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memberitahu isu mengenai warna stoking akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Isu berkenaan timbul selepas dibangkitkan Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin yang mahu kementerian memberi penjelasan sama ada warna stoking putih oleh murid dan pelajar sekolah terlibat turut ditukar kepada warna hitam selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam nanti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN