NEW YORK – Dengan penyakit seperti diabetes dan kardiovaskular yang kian berleluasa, Pertubuhan Global Orang Asal India (GOPIO) di Amerika Syarikat berminat meningkatkan kerjasama dengan negara Asia untuk meningkatkan lagi kesedaran dan langkah pencegahan.
Penyakit itu kini dikatakan bakal menjadi epidemik di negara Asia seperti India, Malaysia, China dan sebagainya.
Bertujuan mengetengahkan isu kesihatan yang dihadapi masyarakat India dan Asia, secara amnya, Konsulat Jeneral India di New York dan Majlis Kesihatan GOPIO menganjurkan Sidang Kemuncak Kesihatan di bandar raya itu.
“Walaupun matlamatnya untuk meningkatkan kesihatan masyarakat berasal dari India, usaha itu juga boleh diterapkan kepada orang Asia lain yang mempunyai masalah kesihatan sama.
“Sidang kemuncak itu adalah inisiatif majlis kesihatan, bertujuan meningkatkan kesedaran dan mengetengahkan amalan pencegahan serta berkongsi maklumat,” kata Pengerusi GOPIO, Thomas Abraham.
Perbelanjaan dan kos menyediakan keperluan asas penjagaan kesihatan kini semakin meningkat di banyak negara Asia.
Diabetes di Malaysia, misalnya, meningkat pada kadar membimbangkan sejak kebelakangan ini, dengan lebih separuh rakyatnya langsung tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu.
Mengikut data beberapa institusi saintifik menjelang 2030 rakyat Malaysia diramal paling ramai berdepan masalah kegagalan buah pinggang. – Bernama










