Isu pekerjaan, kos sara hidup harapan generasi muda - Utusan Malaysia

Isu pekerjaan, kos sara hidup harapan generasi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Generasi muda mahu supaya isu peluang pekerjaan dan kos sara hidup menjadi antara intipati utama kerajaan pada pembentangan Bajet 2019 yang dijadualkan bulan depan.

Kebanyakkan mereka berpendapat isu berkenaan saling berkait dan ekonomi diri boleh diperbaiki jika dua perkara berkenaan dapat ditingkatkan.

Lepasan Universiti Malaysia Sabah, Nur Khairunnisa Omar Baki, 23, berkata, beliau berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan khususnya di luar bandar, bagi memberi lebih pilihan kepada belia.

Mengambil contoh dirinya yang akan bergraduasi pada November depan, Nur Khairunnisa berharap dapat bekerja di Kemaman, Terengganu supaya boleh melaksanakan tanggungjawab menjaga keluarga selaku anak sulung.

“Jika dapat bekerja di tempat asal, perbelanjaan seperti menyewa bilik boleh dijimatkan dan digunakan untuk tujuan lain seperti membantu persekolahan adik-adik kerana ayah seorang sahaja yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Apatah lagi gaji permulaan pada masa kini juga tidak begitu tinggi. Saya berharap gaji minimum boleh dinaikkan kerana kami juga perlu membayar pinjaman pendidikan selepas bergraduasi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pekerja swasta, Amir Rozaini Ahmad Rani, 38, juga berharap lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan supaya anak muda tidak perlu berhijrah ke bandar besar yang sudah pasti lebih tinggi kos hidupnya.

Katanya, kos sara hidup juga memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan termasuk dalam pemberian subsidi minyak kerana perubahan harga bahan api itu memberikan kesan kepada harga barangan lain.

“Kerajaan juga diminta untuk memberi perhatian kepada sistem pengangkutan awam kerana sistem pengangkutan yang efektif dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakannya.

“Ini salah satu cara untuk berjimat selain dapat membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan menjaga alam sekitar,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN