Istilah Ketuanan Melayu dan retorik politik - Utusan Malaysia

Istilah Ketuanan Melayu dan retorik politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUANAN Melayu, istilah itu tidak pernah wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang ada, perkataan Melayu. Itu disebut lebih 90 kali dalam Perlembagaan (termasuk perkataan Tanah Melayu).

Selain Melayu, yang disebut dalam dokumen tertinggi negara itu kalau mengenai kaum ialah bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli. Lain daripada itu, dirujuk sebagai kaum-kaum lain.

Oleh itu, mana datang­nya istilah ketuanan Melayu yang disebut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelmarin? Mungkin asalnya daripada orang politik, bila untung dijaja, jika rugi dicemuh dan akhirnya istilah itu terus menjadi polemik.

Sebenarnya setuju atau tidak dengan istilah ketuanan, itu nombor dua kerana sampai kiamat pun orang politik boleh berbahas me­ngenainya walaupun mereka sendiri samar-samar.

Yang penting, Perkara 153 Perlembagaan mengenai hak istimewa Melayu perlu disusuli dengan tindakan afirmatif berterusan oleh siapa pun yang jadi kerajaan bagi memberi makna kepada peruntukan itu.

Begitu juga perihal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152. Setiap perbuatan dan dasar harus memaparkan kedudukan bahasa Melayu di bawah Perlembagaan, jika tidak apa maknanya.

Juga, dilupa jangan kepada pusaka Melayu di dalam Perlembagaan iaitu mengenai tanah rizab (Perkara 89) yang dikhabarkan makin berkurang. Tidak lupa, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang menjadi permintaan raja-raja untuk menjamin keselamatan Me­layu dari segi sejarahnya.

Bercakap mengenai raja-raja Melayu, kedudukan mereka terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri selaku ketua negara dan negeri. Malah, dikukuhkan pula dengan Akta Hasutan yang salah satunya bertujuan melindungi raja-raja Melayu.

Dan soal Mela­yu pastinya tidak sempurna jika tidak bertunjangkan agama. Inilah yang disebut dalam Perlembagaan hingga agama bagi orang Melayu di Malaysia ditakrifkan hanya satu iaitu Islam yang juga agama bagi Persekutuan.

Agama Persekutuan menerusi Perkara 3 (1) itu luas maknanya walau ada cuba mengasak seolah-olah ia hanya sekadar bacaan doa di awal majlis kerajaan. Malah Perkara 11 (4) memberi kuasa perundangan menghalang penyebaran kepercayaan lain ke atas orang Islam.

Oleh itu, ada yang melihat ketuanan Melayu itu tadi sebagai elemen Melayu di dalam Perlembagaan dan bukannya menidakkan hak kaum lain sebagai warganegara di samping ada ahli sejarah menjelaskan istilah ketuanan dari sudut bahasa dan budaya mengenai kaitan asal-usul negara ini dengan raja-raja Melayu.

Jadi, apabila menyebut mahu mengakhiri ketuanan Melayu, memang perlu hati-hati. Kata Tan Sri P. Ramlee cakap biar terang. Bimbang disalah erti. Kalau hendak mengata pemimpin dulu gagal bawa bumiputera pada kedudukan sepatutnya, cakap lurus sahaja daripada sekali lagi beretorik dengan istilah ketuanan Melayu.

Cumanya, jangan hanya pandai menuding. Ramai menunggu perancangan dan dasar baru untuk bumiputera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN