KOTA BHARU 31 Okt. – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memaafkan semua pihak yang mengecamnya apabila mengambil tindakan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, keputusan meninggalkan UMNO bukan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, sebaliknya, membuat solat istikharah selama sebulan.
Malah katanya, dalam tempoh itu juga beliau berjumpa dengan ramai tokoh korporat, ahli politik dan keluarga serta mengadakan perbincangan sebelum mengambil keputusan muktamad.
“Keputusan saya meninggalkan UMNO ini bukan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tetapi dalam tempoh yang lama dan Alhamdulillah saya bersyukur kerana mengambil tindakan tepat.
“Dalam politik ini menuntut keberanian kerana bukan senang hendak berpisah begitu lama. Saya cukup faham kenapa ada pihak tertentu yang begitu marah kepada saya. Malah, saya tiada masalah dan sudah memaafkan mereka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas.
Beliau ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE










