Isteri dipukul gara-gara kereta calar - Utusan Malaysia

Isteri dipukul gara-gara kereta calar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 26 Okt. – Hanya kerana tercalarkan kereta jenis BMW milik suaminya, seorang wanita cedera dipukul di sebuah pangsapuri di Butterworth, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek sebelum mangsa yang berusia 40 tahun dipukul menggunakan kerusi dan tangan selain ditolak dan dihentak ke dinding yang disaksikan oleh ibunya sendiri.

Ketua Polis daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek yang berusia 42 tahun kemudiannya melarikan diri selepas kejadian itu.

“Pertengkaran itu dipercayai berpunca apabila terdapat kesan calar pada kereta BMW milik suspek ketika digunakan mangsa sehingga mangsa dipukul di hadapan ibunya sendiri yang turut cuba meleraikan pertengkaran.

“Mangsa dihantar untuk rawatan di Hospital Seberang Jaya dan pemeriksaan doktor mendapati terdapat satu luka memanjang di atas kepalanya akibat dihentak objek keras dan menerima tiga jahitan selain terdapat kesan lebam di kedua-dua bahagian di bawah mata dan kedua-dua bahagian tangan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Noorzainy, hasil semakan mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen Seksyen 323KK/18(a) Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana memukul mangsa.

Jelasnya, pihak polis kini masih mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN