SEBERANG PERAI – Seorang lelaki sanggup memaki hamun dan memukul isterinya sehingga dia terpaksa menerima tiga jahitan pada kepala gara-gara kereta BMW miliknya calar semasa digunakan wanita itu dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Butterworth di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 petang itu turut menyebabkan wanita berusia 40 tahun tersebut mengalami luka pada kepala selain lebam pada tangan dan bahagian mata dipercayai dihentak menggunakan objek keras.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, kejadian itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek terhadap isterinya selepas kereta yang dipandu mengalami kemalangan kecil.
Menurut Noorzainy, pertengkaran mulut berlaku di antara mereka sebelum suspek menarik rambut, memukul dengan menggunakan tangan dan kerusi, menolak serta menghentak kepala mangsa pada dinding sebelum dia melarikan diri.
Noorzainy berkata, pihak polis sedang berusaha mengesan suspek berusia 42 tahun itu yang melarikan diri sejurus kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE









