NABLUS 15 Okt. – Tentera Israel terpaksa membuka semula sekolah di al-Lubban/al-Sawiyeh di utara Tebing Barat selepas mendapat bantahan penduduk, semalam.
Gabenor Nablus, Akram Rajoub yang dipetik oleh agensi berita WAFA berkata, bantahan keluarga dan para pegawai kerajaan Palestin akhirnya memaksa tentera rejim itu menarik balik arahan berkenaan.
Semalam berpuluh-puluh penduduk Palestin termasuk pegawai kerajaan Palestin berarak ke sekolah al-Lubban/al-Sawiyeh sebagai membantah arahan tentera Israel untuk menutup sekolah berkenaan.
Beberapa penduduk Palestin cedera terkena bom gas dan bom tangan yang dilemparkan tentera rejim itu bagi menyuraikan bantahan, lapor agensi berita Xinhua yang memetik sumber penduduk tempatan.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan kepada penduduk Palestin tentang penutupan sekolah terbabit yang terletak di jalan Ramallah-Nablus sehingga makluman selanjutnya diberitahu kelak.
Alasan penutupan sekolah itu ialah kerana para pelajar sekolah berkenaan membaling batu ke arah tentera Israel.
Saksi berkata, Ketua Majlis Perkampungan al-Lubnan al-Sharqiyeh, Samer Owais cedera akibat terkena peluru getah manakala seorang wartawan foto yang membuat liputan kejadian turut cedera.
Menteri Pendidikan, Sabri Saidam dan Akram adalah antara penunjuk perasaan yang diserang dengan gas pemedih mata oleh tentera Israel.
Sabri menyelar arahan penutupan sekolah itu yang dikeluarkan tentera Israel dan menegaskan beliau berada di kawasan berkenaan bagi melindungi pelajar sekolah yang dihalang tentera terbabit mengikuti kelas pembelajaran harian.
Jurucakap kerajaan Palestin, Yousef Al-Mahmoud menyifatkan arahan tentera itu sebagai `serangan baharu’ terhadap pendidikan Palestin.
Beliau mendesak masyarakat antarabangsa untuk `menghentikan serangan penjajahan yang membahayakan semua aspek kehidupan penduduk Palestin’.
Tentera Israel menutup jalan raya ke sekolah terbabit bagi menghalang pelajar sekolah menghadiri kelas selain melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan termasuk beberapa kanak-kanak.
Mereka turut menutup pagar sekolah menyebabkan pelajar dan beberapa orang terperangkap dalam kawasan sekolah terbabit. – Agensi/Bernama.
habis.







