GAZA 20 Okt. – Israel meningkatkan kehadiran tenteranya di sepanjang sempadan Gaza ketika gesaan ahli politik tertinggi rejim itu agar melaksanakan kempen ketenteraan sepenuhnya seperti mana konflik pada 2014 bertujuan menamatkan serangan roket yang dikaitkan dengan pergerakan Hamas.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menempatkan kira-kira 60 kereta kebal dan pengangkut personel bersenjata dekat sempadan Palestin, lapor Reuters.
Penghantaran tentera itu disifatkan yang terbesar dari Israel sejak Operasi Perlindungan Sempadan pada 2014.
Pada minggu ini sebuah roket dilancarkan dari Gaza mengenai dan memusnahkan sebuah rumah di bandar Be’er Sheva, Israel manakala sebuah lagi roket jatuh ke laut.
Dalam serangan balas, IDF melancarkan serangan udara yang menyaksikan seorang penduduk Palestin maut manakala ramai lagi cedera dalam serangan yang didakwa disasarkan terhadap `lokasi pengganas’, lapor portal RT.
Dalam usaha untuk membenarkan serangan besar-besaran itu, para pegawai tentera Israel mendakwa serangan roket yang jatuh di laut sebagai ‘sangat bahaya dan dekat’ dengan Tel Aviv.
Serangan roket itu juga dilihat bagaikan dirancang selepas kerajaan Israel didesak supaya melakukan kempen ketenteraan besar-besaran terhadap Hamas untuk menghentikan keganasan berterusan,
Ini kerana serangan itu menyebabkan siren berbunyi tetapi ia tidak dipatahkan oleh sistem pertahanan Iron Dome Israel yang dianggap hebat sebelum ini.
Hamas menafikan serangan itu dan berjanji untuk menyiasat perkara tersebut.
Dalam perkembangan lain, tentera Israel menembak dan mencederakan seramai 130 penduduk Palestin semasa bantahan dekat sempadan Semenanjung Gaza semalam.
Jurucakap tentera Israel mendakwa, seramai 10,000 penunjuk perasaan berada di sempadan dan membaling tayar terbakar, bom tangan dan bahan letupan ke arah tentera yang berada di seberang pagar sempadan.
Namun bantahan itu adalah kecil berbanding sebelum ini yang melibatkan lebih 30,000 penduduk, sekali gus menunjukkan ketegangan semakin reda.- AGENSI









