“JIKA penjajah, mereka sedar bahawa mereka adalah orang luar yang ingin menawan sesuatu kawasan, tetapi perampas lebih teruk kerana mereka mendakwa tanah tersebut milik mereka,” tegas Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Ikrima Sabri.
Bercakap ketika menyampaikan syarahan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, beliau yang pernah ditembak oleh tentera zionis Israel di kaki itu berkata, itulah kezaliman terbesar yang dihadapi penduduk Palestin sehingga membolehkan tentera haram itu melakukan sesuka hati terhadap mereka.
“Itulah yang kami gelar kepada tentera Israel, mereka bukan penjajah tetapi perampas. Kanak-kanak, wanita dan orang tua dibunuh kejam. Serangan demi serangan terus dilancarkan walaupun ketika gencatan senjata,” katanya.
Beliau berkata, ibarat bom jangka, tiada siapa dapat menjamin keselamatan nyawa penduduk Palestin daripada kekejaman tentera zionis Israel yang terus ditindas dan dinafikan hak berada di tanah air sendiri.
Walaupun mendapat kecaman dunia dan pelbagai perjanjian disepakati pada peringkat antarabangsa, namun nyawa ibarat tiada nilai di sisi pengganas itu yang meragut dengan sesuka hati tanpa belas kasihan dan menghiraukan sesiapa.
Bagaimanapun, Syeikh Ikrima berkata, biarpun saban hari ada nyawa terkorban, namun keajaiban yang Allah kurniakan adalah jumlah penduduk Palestin didapati semakin meningkat dari setahun ke setahun.
“Sudah tentu ramai masyarakat dunia menyangka penduduk Palestin semakin berkurangan kerana ramai yang syahid, dipenjara mahupun dihalau dari tanah sendiri, namun hakikatnya penduduk Palestin semakin meningkat.
“Setakat ini, dianggarkan penduduk Palestin bertambah hampir lima kali ganda iaitu daripada sekitar 70,000 penduduk sebelum ini dan kini meningkat sehingga 350,000 penduduk di sekitar Old City.
“Ini kerana mereka (penduduk Palestin) percaya Islam akan menguasai Baitulmuqaddis dan merebut ganjaran sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran serta hadis mengenai kelebihan berada di Baitulmuqaddis. Hal ini juga merunsingkan Israel, justeru mereka menguatkan lagi serangan,” jelasnya.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Satu kelompok daripada umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka, dan mereka tidak akan disakiti musuh mereka kecuali apabila mereka ditimpa kesusahan, sehingga datang pertolongan Allah dan keadaan mereka akan kembali seperti sediakala? Sahabat bertanya: Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Di Baitulmuqaddis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitulmuqaddis.” – Riwayat Ahmad.
HAK UMAT ISLAM
Sehubungan itu, Syeikh Ikrima mengingatkan umat Islam bahawa Baitulmuqaddis yang terdapat dalamnya masjid ketiga suci itu perlu dipertahan oleh seluruh umat Islam seluruh dunia tanpa mengira latar perbezaan.
“Masjid Al-Aqsa bukan milik penduduk Palestin atau sesiapa tetapi ia adalah milik seluruh umat Islam. Ini kerana masjid ini adalah penghubung umat Islam iaitu hubungan akidah dan keimanan kepada Allah.
“Walaupun ada tuntutan atau deklarasi yang mendakwa Baitulmuqaddis milik mereka, ketahuilah sesungguhnya deklarasi tertinggi dan suci adalah firman Allah sebagaimana tertulis dalam al-Quran bahawa Masjid Al-Aqsa adalah tanah suci bagi umat Islam.
“Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 1 maksudnya: Maha suci Allah yang telah mengisrakan (membawa pada perjalanan malam) hamba-Nya dari Masjidilharam ke Masjid Al-Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya untuk kami perlihat kepadanya tanda-tanda kekuasaan kami,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, inilah yang dipertanggungjawab terhadap seluruh umat Islam bagi memelihara resolusi daripada Allah untuk mempertahan dan menjaga Baitulmuqaddis daripada cengkaman musuh Islam.
“Jika kita tidak mampu menghulur tenaga di tanah Baitulmuqaddis, kirimkanlah bantuan mengikut kemampuan masing-masing sama ada dalam bentuk wang ringgit atau sekurang-kurang doa. Ini sudah cukup membantu kami di sana.
“Begitu juga, saya memohon kepada orang ramai terutama pihak media supaya memberi gambaran sebenar kejadian di Palestin sama ada menggunakan media sosial atau media massa. Ini kerana desakan media mampu mempengaruhi keputusan.
“Seperti mana Israel melakukan imbasan tubuh kepada penduduk Palestin yang ingin memasuki Masjid Al-Aqsa sebelum ini telah dihapuskan atas desakan berterusan oleh masyarakat dunia menerusi saluran media,” ujarnya.
Sebagaimana propaganda dilakukan oleh pihak musuh, Syeikh Ikrima berkata, umat Islam perlu melakukan perkara sama iaitu mengulang siar sesuatu maklumat untuk menyedarkan masyarakat dunia tentang situasi sebenar yang berlaku.
“Mereka (media Barat) menggunakan kuasa yang ada untuk mengulang siar sesuatu kejadian dengan menunjukkan mereka benar bagi menarik simpati dunia dan kepercayaan orang ramai. Ternyata usaha itu berjaya apabila mereka mendapat sokongan.
“Kita juga perlu melakukan perkara sama bagi menunjukkan hal sebenar dan membuktikan siapa di pihak yang benar dan sebaliknya,” tegasnya.










