GAZA CITY 27 Okt. – Tentera Israel dan pejuang Palestin berbalas-balas serangan selepas lima orang awam Palestin di Gaza di tembak mati ketika membantah kepungan yang dikenakan rejim Zionis, semalam.
RT melaporkan, jet pejuang rejim Zionis mengebom kira-kira 80 sasaran pergerakan Hamas sebagai tindak balas kepada pelancaran 30 roket dari Gaza.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, serangan bom besar-besaran dilancarkan selepas kira-kira 30 roket Hamas dilancarkan ke Israel dekat bandar Sderot.
Sebanyak 10 roket yang dilancar dari Gaza berjaya dipintas oleh sistem pertahanan peluru berpandu, Iron Dome dengan dua daripada roket terbabit jatuh di kawasan Gaza manakala selebihnya di kawasan terbuka.
Pasukan perubatan Israel berkata, sebanyak tujuh orang awam diberikan rawatan kerana terkejut.
Sebuah hospital Indonesia di utara Genting Gaza dilapor rosak akibat serangan balas itu dengan rakaman dari dalam premis menunjukkan siling bangunan pecah manakala satu daripada tingkap wad turut pecah.
Serangan di hospital itu turut mengakibatkan hospital tersebut terputus bekalan elektrik.
Bagaimanapun tentera Israel tidak mengulas tentang kerosakan di kemudahan perubatan itu tetapi mendakwa Hamas sengaja meletakkan tapak latihan dan gudang senjatanya berhampiran sekolah, hospital dan masjid.
Sebaliknya IDF mengedarkan rakaman serangan udara ke atas apa yang didakwa ibu pejabat perkhidmatan keselamatan Hamas di Gaza.
“Kami telah beberapa kali mengarahkan penghuni bangunan mengosongkan premis itu sebelum serangan dilancarkan,” kata jurucakap IDF.
Bunyi serangan udara Israel kedengaran di seluruh Gaza memaksa penduduk yang ketakutan mencari perlindungan.
Tiada angka korban dilaporkan setakat ini.
Terdahulu, sebelum serangan dilancarkan, sebanyak lima penduduk Palestin berusia antara 22 dan 27 tahun terbunuh semasa membantah kepungan Israel ke atas Gaza dalam beberapa operasi berasingan di sempadan.
Tentera Israel mendakwa sebanyak 16,000 penunjuk perasaan berhimpun di sepanjang sempadan dan ada di antaranya membakar tayar dan melempar batu, bom api dan bom tangan ke arah tentera.
Sementara itu, Israel mendakwa Syria dan Iran mengarahkan pejuang Palestin melakukan serangan roket berkenaan dan mengancam untuk bertindak balas.– AGENSI










