IPOH – Kerajaan negeri Perak mengumumkan cuti peristiwa pada Isnin ini sekiranya pasukan bola sepak Perak berjaya memenangi Piala Malaysia pada pentas final di Stadium Shah Alam,Selangor malam ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Dan Sukan Kerajaan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, perkara tersebut telah diputuskan semasa perbincangan bersama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu selepas mendapat perkenan daripada Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Jelasnya, cuti tersebut juga selaras dengan Akta Hari Kelepasan Am 1951 yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan negeri Terengganu.
“Ini merupakan satu detik bersejarah untuk arena bola sepak Perak dan penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat negeri yang memberikan sokongan padu kepada pasukan negeri ini sehingga mara ke pentas final Piala Malaysia.
“Selain itu, sekiranya Perak berjaya menjuarai Piala Malaysia kali ini, kerajaan negeri akan memberi ganjaran dan insentif kepada semua pemain termasuk pegawai yang terlibat dalam bentuk bukan sahaja wang ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Chuan How, bagaimanapun, insentif itu akan diumumkan selepas Perak menjulang piala berprestij itu.
Tambahnya, ia juga menjadi suntikan semangat kepada pemain-pemain yang telah berjuang berhabis-habisan pada perlawanan akhir Piala Malaysia. – K! ONLINE










