SHAH ALAM 19 Okt. – Sebanyak 670 orang diperiksa dengan 11 daripadanya ditahan dalam Op Cegah Jenayah yang dilancarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sekitar badar raya ini, malam semalam.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 10 malam dan berakhir pukul 5 pagi tadi itu melibatkan tindakan sekatan jalan raya di kawasan Sri Muda, Seksyen 6, Persiaran Budiman di Seksyen 25, Persiaran Jublee Perak di Seksyen 20 dan susur keluar ke Lebuhraya Persekutuan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, 130 pegawai dan anggota polis dari IPD Shah Alam dan IPD berhampiran terlibat dalam operasi itu.
“Hasil operasi itu, sebanyak 670 orang telah diperiksa dan 11 daripadanya telah ditahan atas kesalahan antaranya dadah dan di bawah akta racun.
“Selain itu, kita juga telah memeriksa 550 buah kenderaan dan mengeluarkan 257 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Baharuddin memberitahu, operasi berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Tindakan pencegahan jenayah akan diteruskan selama dua hari lagi tetapi khusus kepada rondaan menggunakan kereta peronda polis termasuk bantuan daripada IPD lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










