MILAN 30 Okt. – Mauro Icardi meledak dua gol pada setiap babak untuk membantu Inter Milan menewaskan Lazio 3-0 sekali gus mengatasi Napoli untuk menduduki tempat kedua dalam Serie A di belakang pendahulu, Juventus.
Kapten Inter, Icardi menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28 sebelum Marcelo Brozovic menggandakan jaringan empat minit sebelum rehat.
Pemain Argentina itu menjaringkan gol kedua perlawanan pada minit ke-70 dalam aksi yang berlangsung di Stadio Olimpico sekali gus membantu Inter mengumpul 22 mata daripada 10 perlawanan berkongsi mata bersama Napoli namun dipisahkan dengan perbezaan mata.
Napoli sebelum ini terikat 1-1 ketika menentang Roma pada Ahad lalu.
Inter dan Napoli masing-masing ketinggalan enam mata di belakang Juventus yang sebelum itu menewaskan Empoli 2-1 pada Sabtu lalu dan kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh Cristiano Ronaldo.
“Kami kembali di landasan yang betul,” kata Icardi selepas pasukannya melakar kemenangan keenam berturut-turut dalam Serie A malah dia turut menjaringkan enam gol dalam aksi liga pada musim ini.
“Saya menghadapi waktu yang baik bersama Inter. Kami bermain dengan bagus kecuali perlawanan menentang Barcelona (tewas 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara) dan ingin memperbaiki prestasi ke arah yang lebih baik.
“Kami bukan anti Juventus kerana kami ketinggalan beberapa langkah untuk menyamai apa yang mereka telah lakukan dalam beberapa tahun ini namun kami gembira dengan apa yang kami lakukan,” kata Icardi. – AFP










