KUALA LUMPUR 31 Okt. – Sejarah kemunculan artis nasyid berkumpulan Inteam pada tahun 2000 bermula dengan lagu berjudul Kasih Kekasih walaupun kumpulan nasyid kontemporari ini diasaskan pada tahun 1998.
Pada ketika itu, Inteam yang bernaung di bawah label Hijjaz Records Sdn. Bhd., merupakan anak didik anggota kumpulan nasyid, Hijjaz.
Inteam tampil dengan anggota asal terdiri daripada Hisyam Ahmad, Hazamin Harun, Suhaimi Saad, Syahril Khalid dan Rahim Osman, tahun demi tahun yang berlalu, anggota Inteam juga bertukar ganti.
Sepanjang perjalanan karier seni, Inteam telah melahirkan lapan buah album debut dan 11 album kompilasi.
Malam ini pada pukul 9, selama satu jam, Inteam diundang sebagai artis jemputan bagi menjayakan segmen bual santai mingguan, Jom Chat.
Dengan single terbaharu Inteam berjudul Dia, kumpulan yang pernah memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-17 kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu berjudul Dia Muhammad dari album Allhu Rabbi yang dinobatkan pula sebagai Album Nasyid Terbaik, Inteam akan bercerita tentang perjalanan karier dan ketahanan yang ada pada kumpulan untuk memastikan nama Inteam itu tidak terpinggir dari industri muzik tanah air. – UTUSAN ONLINE









