KUALA LUMPUR 16 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan sebanyak RM10,000, semalam.
Menurut sumber, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.45 malam di sebuah balai polis sekitar Kota Padawan, Sarawak.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana dipercayai meminta suapan RM10,000 daripada orang awam sebagai dorongan bagi melindungi pesalah daripada diambil tindakan atas kesalahan melakukan kekasaran,” katanya di sini hari ini.
Tambah sumber, suspek yang bertugas di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) telah dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin hari ini. – UTUSAN ONLINE









