PETALING JAYA 23 Okt. – Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) menumpukan usaha dalam meningkatkan daya saing usahawan di samping membantu menaik taraf pendapatan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) melalui keusahawanan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, Insken dan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) berusaha untuk memperkenalkan program-program baharu bagi melahirkan usahawan yang berkualiti.
Menurut beliau, Insken terbuka kepada semua jenis perniagaan termasuk yang mahu meningkatkan perniagaan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.
“Banyak agensi kini lebih memfokuskan syarikat permulaan tetapi kami berpandangan perniagaan yang telah beroperasi juga perlu diberi perhatian dalam aspek pendidikan serta peluang-peluang yang disediakan.
“Pelbagai cara untuk meningkatkan daya saing usahawan termasuk pemberian insentif, dana dan program bimbingan. Contohnya, sidang Kemuncak Pemasaran Global (GMS) 2018 pada 8 November depan menjadi platform untuk mereka belajar daripada usahawan yang berjaya,” katanya dalam majlis prapelancaran GMS 2018 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pembangunan Perusahaan Berprestasi Tinggi Insken, Dr. Izham Shah Arif Shah dan Pengarah Kanan Perkhidmatan Korporat Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Norfaazah Basir.
Sementara itu, Muhd. Firdaus berkata, antara cabaran yang dihadapi oleh Insken adalah kesukaran untuk mendapatkan maklumat berhubung prestasi perniagaan para peserta selepas mereka menyertai program bimbingan.
Katanya, perkongsian itu penting bagi membolehkan Insken membuat penilaian keberkesanan serta penambahbaikan program yang telah dijalankan.
“Mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak dapat berkongsi data, tetapi sebagai syarikat yang menerima bantuan dana daripada kerajaan mereka perlu bekerjasama,” ujarnya.
Insken telah melatih sebanyak 28,330 usahawan melalui 1,109 program latihan pembangunan usahawan sejak 2015.











