Insiden letupan jejas pilihan raya Afghanistan - Utusan Malaysia

Insiden letupan jejas pilihan raya Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL 20 Okt. – Beberapa letupan menggegarkan pusat pengundian di sekitar Kabul hari ini menyebabkan sejumlah kematian, ketika penduduk berang kerana terpaksa menunggu lama untuk membuang undi dalam pilihan raya yang sudah lama tertangguh.

Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 30 mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan Itali.

Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas kumpulan militan Taliban memberi amaran kepada pengundi supaya memboikot proses pembuangan undi jika mahu ‘nyawa mereka selamat’.

Pegawai keselamatan Afghanistan mengesahkan berlaku kematian namun tidak menyatakan jumlah sebenar.

Seorang koresponden agensi berita AFP menyatakan bahawa sejumlah pengundi lari menyelamatkan diri ketika pusat pengundian di utara Kabul diletupkan, sekali gus menunjukkan kejadian itu berniat menakut-nakutkan pengundi dan menjejaskan proses pilihan raya.

Kehilangan senarai pendaftaran pengundi dan masalah teknikal pada alat pengesahan biometrik yang digunakan buat pertama kali telah menyebabkan proses membuang undi tertangguh dalam tempoh yang lama.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai mula marah dan kebanyakan pusat pengundian dibuka lewat selepas petugas proses pengundian gagal hadir pada masa yang ditentukan.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Afghanistan (IEC) berjanji untuk melanjutkan tempoh pembuangan undi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN