PULAU PINANG 19 Okt. – Pihak Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang mengesahkan tiga rakyat negara itu terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus dekat Paya Terubong, di sini hari ini.
Pegawainya, Neni Kurniati berkata, mayat salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Samsul telah ditemukan manakala dua lagi masih hilang.
Menurutnya, beliau telah mengunjungi lokasi kejadian dan bertemu dengan isteri dua mangsa yang masih tertimbus.
“Kami berharap dua mangsa yang tertimbus ini akan ditemukan segera.
“Sementara itu saya telah menghubungi keluarga Samsul dan proses pengecaman melalui ujian DNA akan dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang, di sini malam ini.
Tambahnya, keluarga mangsa juga masih belum membuat keputusan sama ada akan membawa pulang jenazah ke Sulawesi atau dikebumikan di sini.
Satu lagi mangsa yang disahkan terbunuh ialah pekerja warga Bangladesh yang dikenali sebagai Attrul,35.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 10 lagi pekerja asing yang bekerja di tapak tersebut dikhuatiri masih tertimbus di bawah timbunan tanah runtuh.
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata daripada jumlah itu, tiga mangsa memang disahkan tertimbus berdasarkan keterangan isteri dan rakan masing-masing.
“Tiga yang disahkan tertimbus itu ialah dua lelaki Indonesia dikenali sebagai Bahktiar dan Sobri yang memang disahkan isteri mereka manakala seorang lagi adalah lelaki Myanmar yang disahkan rakannya.
“Kami dimaklumkan terdapat tujuh lagi pekerja asing turut terperangkap dalam kejadian tanah runtuh itu, ini berdasarkan keterangan rakan-rakan mereka,” katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian, hari ini.
Saadon berkata, setakat ini, pihaknya dapat mengesahkan enam kontena dan sebuah rumah kongsi yang terletak di tanah lapang berhampiran lereng bukit itu terlibat dalam kejadian tanah runtuh dan tidak menolak kemungkinan ada lagi kontena lain turut jatuh di bawah runtuhan tanah itu.
“Saya dimaklumkan ada juga pondok-pondok rumah kongsi yang dibina berhampiran kontena berkenaan namun saya tidak dapat sahkan berapa jumlah sebenar kerana semuanya telah tertimbus di bawah tanah runtuh,” katanya
Beliau berkata, tanah runtuh itu berlaku di bawah kawasan kontena dan rumah kongsi menyebabkan berlaku pergerakan tanah yang mengakibatkan kontena dan rumah kongsi berkenaan menggelongsor jatuh kira-kira 50 meter.
“Ketika ini 200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi yang turut dibantu pelbagai agensi antaranya pihak polis, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, kontraktor projek dan pasukan bomba dan sukarelawan,” katanya. – UTUSAN ONLINE/BERNAMA










