Ada dua perkara yang menarik tentang berita pengumuman tarikh perkahwinan dua nama besar Bollywood, Ranveer Singh dan Deepika Padukone pada 14 dan 15 November depan yang dibuat menerusi laman Instagram pasangan itu minggu lalu.
Hal yang pertama adalah selama enam tahun dilabel dan dikatakan sebagai pasangan kekasih, tidak pernah sekalipun mereka menafi atau mengesahkan manakala yang kedua, apabila majlis perkahwinan sudah ditetapkan, mereka mengambil langkah profesional dengan memberitahunya secara adil dan saksama kepada semua pihak.
Sejujurnya, Ranveer dan Deepika boleh sahaja secara senyap-senyap terbang ke mana-mana pelosok dunia dan menikmati hari bahagia tanpa sebarang tumpuan media seperti yang dilakukan oleh Anushka Sharma atau Rani Mukerji terhadap perkahwinan mereka. Jadi pilihan pasangan yang diberi jolokan DeepVeer ini wajar diberi pujian.
Barangkali atas sebab sama, sepanjang perhubungan yang terjalin antara mereka, kebanyakan peminat seakan-akan memahami privasi yang diminta oleh Deepika dan Ranveer untuk tidak berbicara lanjut apakah benar mereka sedang hangat dilamun cinta.
Bagi pasangan itu, cukup sekadar mereka menjalani hubungan asmara dengan selesa. Bagi mereka, tidak bersembunyi untuk tampil mesra di depan khalayak ramai, saling berbalas komen romantis di laman sosial atau memberikan bayangan berkias bagi menjelaskan ikatan yang terjalin sejak kali pertama bertentangan mata di set penggambaran filem RamLeela pada tahun 2012 itu sudah cukup memadai.
Pengajaran
Bagi peminat yang mengenali Deepika sejak awal kemunculannya dalam industri Bollywood, mungkin dapat mengerti mengapa aktres itu memilih untuk lebih berahsia berkenaan cintanya pada kali ini.
Sebelum berkenalan dengan Ranveer, wanita yang dilahirkan di Copenhagen, Denmark itu pernah bercinta dengan pelakon Ranbir Kapoor yang juga anak kepada legenda Rishi Kapoor selama lapan tahun.
Hubungan yang mendapat liputan meluas industri Bollywood itu dilaporkan berakhir kerana Ranbir pada waktu itu belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga manakala Deepika pula mengambil serius akan cinta mereka.
Apabila heroin Padmavaat itu bertemu Ranveer di set penggambaran RamLeela, ia seperti cinta pandang pertama apabila keserasian yang terjalin di layar perak berterusan hingga ke luar filem.
“Saya boleh bergantung harap kepada Ranveer dalam apa sahaja situasi yang sedang dihadapi. Dia seorang yang mementingkan keluarga, selalu meletakkan kebahagiaan orang lain sebelum dirinya dan sangat baik hati.
“Di sebalik spekulasi yang orang katakan pada hubungan kami, dia terlebih dulu menjadi rakan baik saya. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan insan sepertinya,” luah Deepika dalam satu temu bual televisyen sekitar tahun 2017.
Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang memiliki hubungan yang rapat, keakraban Ranveer dengan keluarga Deepika juga dilihat sebagai salah satu sebab pintu hati wanita berusia 32 tahun tersebut terbuka menerima kekasihnya itu.
“Saya sukakan hakikat bahawa Ranveer termasuk dalam kategori anak manja mak kerana itu membuktikan dia sangat rapat dengan keluarganya. Namun dalam masa, dia seorang yang matang dan mempunyai ciri-ciri ketua famili yang baik,” tambahnya lagi.
Sejati
Bagi Ranveer pula, seorang pelakon yang semakin mengukuhkan kedudukan sebagai antara hero gred A di Bollywood, hanya Deepika satu-satunya wanita yang pernah dikaitkan dengan dirinya sejak melangkah masuk ke dalam dunia Bollywood pada tahun 2010.
Perkenalan dengan Deepika pada saat namanya baru hendak melonjak naik langsung tidak menjejaskan perjalanan karier seninya, malah hubungan mereka mekar seiring dengan populariti yang diraih terutama menerusi filem-filem lakonan bersama seperti Bajirao Mastani, Finding Fanny dan Padmavaat.
Sejak awal lagi, lelaki berusia 33 tahun itu sudah menggambarkan kisah cintanya dengan teman wanita yang dirahsiakan (namun dianggap Deepika oleh media) sangat membahagiakan serta memberinya semangat dalam hidup.
“Saya sukakan perasaan dilamun cinta, ia suatu perasaan paling bahagia dalam dunia. Saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini, jadi ya, saya sangat menikmatinya sekarang,” katanya dalam satu wawancara majalah pada 2013.
Namun tahun berganti tahun, Ranveer mula menyedari betapa kisah cintanya menjadi fokus utama dalam setiap paparan media sehingga berita berkenaan kerjaya dan filemnya kurang diberi perhatian.
Sejak itu, graduan Universiti Indiana, Amerika Syarikat itu lebih suka mengelak apabila ditanya berkenaan cinta dan meminta agar media memberinya ruang sehingga apa yang dikatakan itu benar-benar berlaku suatu hari nanti.
“Saya tahu saya muda dan bujang, namun masyarakat tidak boleh sentiasa fokus pada kehidupan peribadi saya sahaja sepanjang masa. Jika media tidak membuat laporan berkenaan isu itu, peminat sudah pun membuat spekulasi sendiri hanya dengan memerhati kami berdua dari jauh.
“Anda mungkin melihat saya seperti tidak serius dan gila-gila, namun jika bercakap soal masa depan dan perkahwinan, ia perkara penting buat saya. Jadi selagi tiada apa yang pasti, biarlah ia menjadi simpanan peribadi,” komennya sewaktu ditanya berkenaan khabar angin perkahwinan pada 2016.
Biarpun enggan bercerita secara terbuka tentang cintanya pada Deepika, usaha Ranveer bagi memastikan hubungan mereka kekal intim seperti melawat teman wanitanya di beberapa lokasi penggambaran di serata dunia dan sering melakukan kejutan dengan menyambut wanita itu di lapangan terbang menyentuh hati peminat mereka berdua.
Sehingga kini, tiada sebarang pengesahan yang dibuat oleh Deepika mahupun Ranveer berkenaan maklumat lanjut majlis mereka kecuali tarikh yang diberitahu. Namun, ada sumber rapat mengatakan mereka akan berkahwin di Tasik Como, Itali dan dihadiri oleh kaum keluarga serta rakan rapat sahaja.
Selepas enam tahun berteka-teki tentang hubungan mereka, pasangan yang dianggap bakal menjadi power couple di Bollywood, Ranveer Singh dan Deepika Padukone akhirnya mengesahkan akan berkahwin pada pertengahan November depan.










