Impian Syafiq, rezeki Hisyam - Utusan Malaysia

Impian Syafiq, rezeki Hisyam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA sedang melalui fasa indah dalam karier seni, takdir menentukan ayah tercinta kembali menyahut seruan Ilahi pada 14 Oktober lalu.

Pemergian Allahyarham Saleem yang juga vokalis utama kumpulan Iklim, sekali gus membawa kekuatan diri Syafiq Farhain.

Sekalipun Syafiq tidak dibesarkan sepenuhnya oleh ayah kandungnya itu, namun ikatan darah yang mencantumkan mereka akan kekal sehingga ke akhir hayat masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Buktinya, bakat nyanyian yang dikurniakan dalam diri jejaka berusia 24 tahun itu merupakan warisan daripada arwah bapanya itu.

Justeru, apabila kembali menyelak lembaran sejarah lalu, satu hal yang membuatkan Syafiq sangat ralat ialah tidak berpeluang memenuhi hasrat Allahyarham ayahnya yang mahu merakamkan lagu duet bersama-sama.

SYAFIQ FARHAIN dan Hisyam Hamid bersama-sama para pelakon yang membintangi Hero The Movie (dari kini
SYAFIQ FARHAIN dan Hisyam Hamid bersama-sama para pelakon yang membintangi Hero The Movie (dari kini) Tash Yong, Mark Adam, Elisyha Sandha dan Bell Ngasri.

“Sejujurnya saya rasa sangat gembira kerana arwah pernah menyuarakan hasrat untuk berduet dengan saya. Dahulu saya ingat dia tidak mahu menyanyi dengan saya, rupa-rupanya dia juga simpan hasrat sama.

“Sebelum itu, dia mahu tengok dahulu sama ada saya betul-betul boleh menyanyi ataupun tidak. Hasrat tersebut disampaikan oleh seorang kawan arwah kepada saya,” jelas Syafiq yang mula dikenali menerusi lagu Sayang Maafkan Aku.

Enggan membiarkan lagu-lagu nyanyian bapanya dilupakan, Syafiq kini menyimpan impian baharu untuk merakamkan semula lagu Iklim dan Saleem sebagai satu tribute buat arwah bapanya.

Ujarnya, jika tiada halangan dan diberikan peluang, dia merancang untuk merakamkan sebuah album istimewa sebagai kenangan buat peminat Saleem dan Iklim.

“Sejak kecil semua lagu Iklim dan Allahyarham Saleem saya suka. Jadi, sekiranya ada rezeki, saya ingin rakam semula lagu-lagu mereka yang kurang dikenali.

“Saya yakin, karya arwah dengan rakan seperjuangannya terus hidup meskipun dia telah pergi meninggalkan kita semua.

“Kalau tiada halangan juga, saya tidak keberatan untuk merakam sebuah lagu baharu yang menceritakan isi hati saya kepada arwah. Saya akan hasilkan liriknya kerana saya lebih sukakan lirik yang mendalam dan puitis agar pendengar dapat merasai yang saya rasa,“ katanya lagi.

Cabar diri

Menyingkap perjalanan karier seni Syafiq, berlaku secara pantas, namun menuju ke arah kejayaan demi kejayaan.

SYAFIQ FARHAIN luah hasrat untuk hasilkan album tribute buat Allahyarham ayahnya, Saleem dan Iklim.
SYAFIQ FARHAIN luah hasrat untuk hasilkan album tribute buat Allahyarham ayahnya, Saleem dan Iklim. 

Bermula dengan single pertama yang mendapat sambutan hebat sehinggalah kejayaan meraih gelaran naib juara program Big Stage membuktikan bakat anak kelahiran Setiu, Terengganu ini bukan calang-calang.

Enggan mencipta nama dalam bidang nyanyian sahaja, Syafiq tidak melepaskan peluang tatkala diberikan tawaran membintangi Hero The Movie.

Yang lebih membanggakan, dia berikan tawaran berlakon filem meskipun pengalaman seninya masih hijau.

Bagi Syafiq, tawaran tersebut diterima bukan mahu mengejar populariti dan wang ringgit semata-mata, sebaliknya merupakan platform terbaik untuk dia lebih dikenali dalam industri hiburan.

Dalam pada itu, Syafiq tidak menafikan, kerja lakonan bukan sesuatu yang mudah, namun demi perancangan untuk mengukuhkan namanya dalam industri, dia mencabar diri dan sanggup mengambil risiko bergelar bintang filem.

“Ini satu tugasan yang sukar tetapi saya gunakan semua pengalaman berlakon dalam video muzik sebelum ini yang secara tidak langsung membantu saya berdepan dengan kamera.

“Saya memegang watak sebagai penyelia kepada watak utama lakonan Hisyam Hamid dan pengalaman sebagai anggota bomba sangat membantu saya menjiwainya.

“Walaupun watak saya hanya terlibat dalam 25 babak sahaja tetapi memberikan satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan,” jelas Syafiq.

Rezeki tak pernah putus

SUDAH enam tahun dia mencipta nama sebagai anak seni di Malaysia dan sepanjang tempoh tersebut, sudah lebih 15 buah drama dibintangi yang akhirnya menyenaraikan nama Hisyam Hamid sebagai antara hero Melayu yang disegani ramai.

Pada masa sama, Hisyam juga dilihat cukup selesa berada di kedudukan yang sederhana berbanding rakan-rakan seperjuangan lain yang ghairah mempelbagaikan cabang seni mereka.

HISYAM HAMID akui rezekinya dalam bidang seni sentiasa ada dan dia cukup selesa bersederhana dalam m

HISYAM HAMID akui rezekinya dalam bidang seni sentiasa ada dan dia cukup selesa bersederhana dalam menempa populariti dan glamor.

Kepada Hisyam, 33, berada di kedudukan hari ini sangat disenanginya. Dia tidak pernah terfikir untuk pantas menduduki tangga tertinggi mahupun cepat jatuh merudum.

Tambahan pula, aktor kelahiran Singapura itu menyedari, seseorang pelakon itu berada dalam kategori yang berbeza mengikut status mereka.

Lantas Hisyam menjadikan faktor itu menyebabkan tahap popularitinya konsisten pada satu tahap sahaja.

“Saya tidak mempunyai masalah dan okey sahaja dengan keadaan itu. Ini kerana saya dan hero drama yang lain berada dalam kategori yang berbeza.

“Bagi pelakon yang masih muda dan bujang, sambutan terhadap mereka berlainan dengan pelakon seperti saya yang sudah beristeri dan berkeluarga.

“Dalam soal ini, yang penting bagi saya adalah untuk kekal relevan dan pihak produksi masih mempunyai sebab kenapa ingin mengambil saya berlakon dalam drama mereka.

“Soal kedudukan tidak menjadi masalah kerana saya okey sahaja dengan kedudukan yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah ini,” jelas Hisyam yang tidak pernah lekang dengan senyuman.

Sementara itu, Hisyam berkata, sekalipun namanya tidak sehebat atau segah bintang lain, namun rezeki lakonan tidak pernah putus-putus diterimanya.

“Sehingga hari ini, saya sangat bersyukur atas rezeki lakonan yang tidak pernah putus. Saya yakin, soal populariti bukan keutamaan sebaliknya bakat dan kerja keras seseorang itu yang dinilai.

“Sebenarnya itu adalah sebahagian daripada strategi saya dalam bidang ini iaitu untuk kekal konsisten pada satu tahap. Yang perlu saya tingkatkan ialah hasil kerja yang dilakukan sebaik mungkin,” ujar Hisyam yang juga ayah kepada dua orang cahaya mata.

Watak yang dekat 
di hati

Memulakan kerjaya sebagai ahli bomba di negara kelahirannya sebelum berhijrah ke Malaysia untuk menyertai industri seni, Hisyam mengakui, watak anggota beruniform tersebut sangat dekat di hatinya.

Sebelum ini, Hisyam mencipta kejayaan dengan memainkan peranan sebagai bomba menerusi drama Abang Bomba I Love You dua tahun lalu.

Kini, watak tersebut kembali berada dalam genggamannya apabila terlibat sebagai pelakon utama filem Hero The Movie.

Menurut Hisyam, walaupun memiliki pengalaman selama lapan tahun berkhidmat sebagai bomba, namun penglibatannya dalam filem tersebut tidak lepas daripada cabaran.

Jelasnya, meskipun genre filem ini aksi komedi, babak-babak yang melibatkan fizikal memberikan cabaran yang bukan sedikit kepadanya.

Justeru, sebelum memulakan penggambaran, Hisyam terlebih dahulu menjalani latihan fizikal sebagai langkah persediaan.

“Genre filem ini aksi komedi tetapi terdapat banyak babak yang melibatkan kemahiran fizikal seperti bergaduh, berlari, memanjat tangga dan misi menyelamat.

“Dalam berdepan cabaran ini, saya persiap diri dengan melakukan banyak latihan seperti senaman di gimnasium dan berlari. Ini sangat membantu kerana majoriti proses penggambaran sangat memenatkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hisyam sempat berkongsi rasa sedihnya terhadap kemalangan maut yang menimpa enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada 3 Oktober lalu.

Tambah Hisyam, peristiwa itu secara tidak langsung membakar semangatnya untuk melakonkan watak anggota bomba sebaik mungkin, sekali gus menaikkan status unit badan beruniform tersebut.

“Saya dan pasukan produksi menerima berita tersebut ketika berada di dalam jentera bomba dan sedang menjalani penggambaran. Salah seorang anggota yang menyertai penggambaran mendapat mesej mengenai kejadian itu.

“Peristiwa tersebut telah menyuntik semangat dalam diri saya untuk melakukan yang terbaik menerusi filem Hero The Movie kerana salah satu tujuan penghasilannya adalah untuk menaikkan nama dan status bomba sebagai anggota penyelamat yang berisiko tinggi,” jelas Hisyam lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini