KIRA-KIRA seminggu lagi atau lebih tepat lagi, pada Jumaat, 2 November depan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dijangka membentangkan Bajet 2019 pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri.
Pembentangan tersebut pasti ditunggu-tunggu oleh rakyat memandangkan ia merupakan bajet pertama daripada orang kanan Dr. Mahathir yang memerintah negara buat kali kedua dalam usia kurang tujuh tahun lagi bakal mencecah satu abad.
Sebagai ketua kerajaan, Perdana Menteri sudah pasti mahu bajet kali ini bukan setakat untuk membantu menjana pembangunan ekonomi negara serta meringankan beban hidup rakyat malah untuk memastikan Wawasan 2020 yang beliau lancarkan pada tahun 1991 tercapai.
Penulis juga percaya bajet tersebut akan turut membentangkan langkah-langkah kerajaan untuk mengurangkan hutang negara selain menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan muda yang baru hendak membina kehidupan.
Dalam pada itu, kerajaan PH dijangka melakukan penjimatan dengan tiada kenaikan gaji kepada kakitangan kerajaan, tiada bonus, mengurangkan bantuan wang tunai serta mengenakan cukai baharu yang tidak akan dirasai golongan miskin sebagaimana sebelum ini.
Manusia merancang, Allah menentukan. Tiada siapa menyangka bahawa Dr. Mahathir mengetuai kerajaan sekali lagi ketika rata-rata rakyat seakan-akan ingat tak ingat sahaja terhadap Wawasan 2020 yang mahu menjadikan Malaysia Negara Maju setaraf Singapura, Korea Selatan, Jepun dan banyak lagi negara lain di dunia.
Tinjauan penulis pula mendapati rata-rata rakyat dapat menerima dasar pemerintahan PH ketika ini yang berbeza dengan dasar-dasar Barisan Nasional yang memerintah negara selama 61 tahun.
Selain menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dianggap membebankan, rata-rata rakyat dapat menerima pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang didapati melegakan mereka.
Walaupun SST juga menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan naik mencanak, perasaan fobia rakyat terhadap GST selama ini menyebabkan mereka tidak peduli kesan SST terhadap kenaikan harga barang.
Rakyat tidak mahu fikir bagaimana kerajaan mahu dapatkan wang untuk uruskan negara atau sumbangan mereka kepada pembangunan negara kerana yang penting mereka mahu menikmati kehidupan selesa.
Dalam pada itu tindakan kerajaan PH terhadap pemimpin-pemimpin kanan kerajaan yang memerintah sebelum ini dan pihak-pihak berkaitan dengan mendakwa mereka di mahkamah turut melegakan rakyat.
Rakyat walaupun bukan semua selama ini berpendapat pemimpin-pemimpin inilah yang menjadi punca kehidupan mereka menjadi terbeban menerusi pelbagai dasar yang dilaksanakan dan gaya pemerintahan mereka.
Di satu pihak, tindakan keras PH terutama Dr. Mahathir terhadap musuh-musuhnya ketika ini yang dahulunya menjadi tiang seri bersama dalam kerajaan terdahulu jelas menjadi precedence, contoh duluan atau penanda aras bahawa pemimpin PH tidak boleh melakukan penyelewengan sesuka hati.
Jika melakukan penyelewengan, mereka boleh didakwa oleh kerajaan baharu akan datang sekiranya parti itu tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Pada satu sisi lain, rakyat melihat PH melakukan keadilan apabila berusaha menegakkan kebenaran dengan mendakwa mereka yang disyaki melakukan kesalahan walaupun pihak yang menjadi mangsa menyifatkannya sebagai tindakan balas dendam.
Jelas sekali teori keseimbangan atau equilibrium untuk menghasilkan pembentukan masyarakat yang adil dan saksama sedang berlaku di Malaysia walaupun ia dilihat sangat kejam oleh mangsanya.










