Imej Arab Saudi terus merudum - Utusan Malaysia

Imej Arab Saudi terus merudum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUNUHAN wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi dalam bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu merupakan ujian dan cabaran besar bagi negara padang pasir itu.

Kegagalannya menangani kes pembunuhan wartawan Washington Post dengan betul akhirnya memakan diri. Kepercayaan ma­sya­rakat dunia kepada negara yang menempatkan dua kota suci Islam, semakin terhakis.

Silap perhitungan menye­bab­­kan banyak pihak sama ada kawan atau lawan menyalahkan Arab Saudi dan percaya Riyadh bertanggungjawab sepenuhnya dalam pembunuhan berkenaan.

Bahkan, Presiden Iran, Hassan Rouhani turut mendakwa Arab Saudi dilindungi sepenuhnya oleh Amerika Syarikat (AS) untuk me­lakukan pembunuhan ­terbabit.

Semua menunding jari ke arah Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman sebagai dalang di sebalik pembunuhan Jamal yang merupakan bekas penasihat dan juga pengkritik Riyadh kerana menyekat kebebasan bersuara rakyat menerusi ruang kolumnis dalam akhbar Barat itu sejak setahun lalu.

Sikap dolak dalih dan kegagalan Arab Saudi untuk mendedahkan dalang sebenar terus menyebabkan kemarahan ma­syarakat antarabangsa teruta­manya negara-negara Barat.

Pembunuhan Jamal yang belum ditemukan mayatnya memberi kesan buruk kepada reputasi antarabangsa Arab Saudi, malahan beberapa pihak mahu mengenakan sekatan terhadap Riyadh susulan insiden berkenaan.

Sememangnya imej Arab Saudi sebenarnya tidak berapa baik sejak lebih dua dekad lalu, bukan dalam kalangan negara Barat tetapi juga negara-negara Islam sendiri.

Ketika perang Teluk pada 1991, Arab Saudi memainkan peranan penting dalam membantu AS yang dianggap anti-Islam menentang Saddam Hussein di Iraq dan serangan pengganas pada 11 September 2001 di AS, menyebabkan negara Arab itu dikecam oleh rakyat Amerika kerana 15 daripada 19 pengganas yang merampas pesawat ketika itu merupakan rakyatnya.

Malah, Arab Saudi turut me­ngetuai tentera pakatan prokerajaan yang bertempur dengan kumpulan pemberontak Houthi di Yemen sejak 2015, sekali gus menyebabkan negara itu berdepan krisis kemanusiaan yang paling teruk dalam sejarah dunia.

Peperangan itu menyebabkan hampir 10,000 penduduk awam terbunuh sejak tiga tahun lalu dan mengakibatkan 14 juta orang berdepan krisis kebuluran.

Sebelum pembunuhan Ja­mal, Arab Saudi berjaya mengekalkan pengaruhnya di Amerika melalui duit hasil minyaknya yang di­belanjakan dengan jumlah yang banyak.

Arab Saudi dikatakan mempunyai 24 firma melobi dan perhubungan awam di AS. Pelobi Arab Saudi dilihat sering bertemu dengan senator dan wakil AS bagi membincangkan kepen­tingan mereka malah Riyadh juga membekalkan dana ke atas kumpulan pemikir serta universiti elit AS di seluruh negara.

Meskipun Riyadh mempunyai duit bertimbun tetapi ia dilihat gagal untuk membeli pengaruh. Empat daripada firma melobi dan perhubungan awam serta sekurang-kurangnya satu kumpulan pemikir telah memutuskan hubungan dengan Riyadh.

Persoalannya kini bukan me­ngapa organisasi terbabit menjauhkan diri daripada Arab Saudi tetapi persoalan sebenar ialah mengapa Washington menunggu masa untuk melihat ‘kejatuhan’ imej Arab Saudi?

Jawapan yang pasti ialah jumlah yang dibelanjakan Arab Saudi untuk mengembangkan pengaruhnya di AS.

Usaha Arab Saudi mencari pe­ngaruh di Washington bermula selepas serangan pengganas pada 11 September 2011. Dalam tempoh 10 tahun, Arab Saudi membelanjakan lebih AS$100 juta (RM417 juta) untuk membersihkan kembali imej mereka di negara itu.

Menurut rekod dikeluarkan oleh Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA), Arab Saudi membelanjakan hampir AS$27 juta (RM112 juta) untuk firma melobi dan perhubungan awam pada tahun ini, tiga kali ganda lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

Analisis terperinci juga me­nunjukkan firma berkenaan meng­­hubungi anggota Kongres, pentadbiran Presiden Donald Trump, media dan pelbagai kumpulan pemikir sebanyak lebih 2,500 kali.

Malahan, mereka juga didakwa menyumbangkan sebanyak AS$400,000 (RM1.6 juta) dalam kempen sumbangan kepada wa­kil dan senator yang dihubungi oleh firma tersebut.

Namun begitu bukan semua firma menolak Arab Saudi untuk menjadi klien dengan insiden pembunuhan Jamal, syarikat Southwind Strategies baru-baru ini menandatangani perjanjian baharu dengan Riyadh.

Malah, lebih 24 firma yang berdaftar dengan FARA dilaporkan terus bekerjasama dengan Arab Saudi. Mereka berkemungkinan bekerja siang dan malam untuk membantu Arab Saudi keluar daripada kemelut ketika ini.

Biarpun imej Arab Saudi tercalar dengan apa yang berlaku, satu perkara yang tidak berubah iaitu Riyadh mungkin masih percaya bahawa kekuatan duit mampu untuk mempengaruhi ‘tentera’ pelobi dan firma perhubungan awam memulihkan pengaruhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN