PADA tanggal 18 Oktober 2001, sebuah bot nelayan berukuran 19.5 meter panjang dan empat meter lebar dilaporkan telah berlepas dari Bandar Lampung, Sumatera, Indonesia dengan membawa seramai 421 orang penumpang.
Bot kecil yang penuh sesak itu dilaporkan sedang dalam perjalanan menuju ke Christmas Island yang merupakan sebuah pulau yang terletak di kawasan Australia.
Seramai 421 penumpang bot nelayan itu merupakan imigran yang memendam harapan besar untuk bersatu kembali dengan keluarga masing-masing yang dan memulakan kehidupan baharu di negara kanggaru itu.
Majoriti imigran tersebut berasal dari negara-negara bergolak seperti Iraq, Afghanistan, Iran dan Palestin yang dihimpit konflik peperangan di negara masing-masing.
Sehari kemudian iaitu pada 19 Oktober 2001, bot nelayan yang sarat dengan penumpang itu dilaporkan telah dibadai ribut sehingga sejumlah wanita yang hamil pada masa itu telah melahirkan anak secara pramatang di atas bot yang sedang terumbang-ambing menanti ditelan lautan luas.
Pada saat semua penghuni bot nelayan itu berdoa supaya terselamat, bot tersebut akhirnya pecah dan karam semasa berada di tengah-tengah perairan antarabangsa, kira-kira 70 kilometer (km) di selatan Jawa.
Pencari suaka
Bot nelayan tersebut karam di kawasan yang diwartakan sebagai perairan antarabangsa, namun masih berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Indonesia (EEZ).
Pada masa sama, kedudukan perairan itu juga termasuk di dalam kawasan pengawasan perlindungan sempadan Australia sementara di sekitar wilayah luar Christmas Island yang terletak kira-kira 1,700km dari tanah besar Australia.
Mengimbas kembali kejadian duka itu yang dikenali sebagai tragedi bot karam Siev-X , seramai 353 imigran mati di tengah samudera yang sedang bergelora.
Mangsa yang maut terdiri daripada 146 orang kanak-kanak, 142 orang wanita dan 65 orang lelaki dengan kebanyakan mangsa mati akibat lemas.
Seramai 41 mangsa terselamat pula telah ditemui terapung sambil berpaut pada serpihan papan bot yang pecah di tengah-tengah lautan dan telah diselamatkan oleh dua buah bot nelayan iaitu Indah Jaya Makmur dan Surya Terang dari Indonesia, 20 jam selepas kejadian.
Ternyata, tragedi malang itu sukar untuk dilupakan oleh mangsa terselamat. Salah seorang daripada mereka ialah Amal Hassan Basry yang berasal dari Iraq.
Menurut wanita yang bernasib baik itu, dia masih teringat detik-detik bot nelayan yang dinaikinya bersama ratusan pencari suaka lain terumbang-ambing sewaktu dilanda ribut sebelum pecah dan karam sekitar pukul 3.01 pagi pada tanggal 19 Oktober 2001.
“Saat sedang menanti ajal, saya dapat melihat sebahagian rakan-rakan yang lain turut sama bergelut dengan maut termasuk kanak-kanak,” ujarnya sewaktu ditemu bual oleh penulis dari Australia, Arnold Zable.
Menurutnya lagi, dia mengandaikan dirinya umpama seperti sebuah kamera yang merakam detik-detik cemas ketika bot yang dinaiki karam dan diselangi dengan teriakan, jeritan dan tangisan para imigran yang tenggelam ditelan lautan.
Gadai nyawa
Biarpun wanita cekal itu terselamat dalam tragedi tersebut, dia sebenarnya kehilangan 21 anggota keluarganya yang lain termasuk anak lelaki tunggalnya yang berusia lapan tahun.
Kejadian bot karam itu telah digelar Siev-X yang bermaksud Suspected Illegal Entry Vessel X, iaitu singkatan yang digunakan oleh pihak berkuasa pengawasan pantai untuk mana-mana bot yang cuba memasuki perairan Australia secara haram.
“Kejadian ini merupakan salah satu konflik dunia yang terpaksa dilalui oleh pelarian apabila negara mereka bergolak dan mereka terpaksa menggadai nyawa menyeberangi lautan luas,” ujar Menteri Imigrasi Australia, Philip Ruddock kepada akhbar New Zealand Herald.
Sementara itu, organisasi migrasi antarabangsa atau International Organisation for Migration (IOM) mengakui bahawa, tragedi yang berlaku itu bukanlah berita yang mengejutkan apabila siasatan mendapati bot nelayan yang kecil itu terpaksa membawa lebih 400 orang penumpang.
Bagi mengenang mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut, sebuah memorial peringatan telah dibina di sebuah kawasan padang di Lake Burley Griffin, Canberra, Australia dengan kerjasama 300 buah sekolah, gereja dan kumpulan komuniti yang lain.









