SULAWESI TENGAH – Hasrat anak-anak mangsa gempa di pedalaman Kabupaten Sigi, Sulawesi Tengah, untuk “bertemu” Upin dan Ipin menjadi kenyataan hari ini dalam sesi program psikosial dijalankan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
Walaupun dua karakter kartun popular dari Malaysia itu tidak diterbangkan secara fizikal, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) menggunakan pendekatan kreatif untuk merealisasikan hasrat anak-anak kecil itu.
Mereka membawa kertas mewarna khas Upin dan Ipin yang dicetak di Malaysia dengan tertera di atasnya “Kerana Kita Bersaudara” iaitu kempen NGO itu untuk membantu mangsa-mangsa gempa dan tsunami sejak 28 September lalu.
Lokasi pertama sesi psikososial itu adalah di Pandere, Kecamatan Gumbasa, yang terletak lebih sejam dari Rumah Sakit Lapangan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) di Sigi yang juga rakan strategik Imaret sejak 2 Oktober lalu.
Pasukan keempat Imaret diketuai sukarelawan kemanusiaan, Ashraff Rahman, tiba di Balairaya Pandere sekitar pukul 12 tengah hari. Turut serta dalam pasukan itu ialah pakar perubatan, Dr. Jamali Wagiman; Dr Nur Hafilah dan Dr Nor Afiza serta Dr S. Jayaseelan.
Dalam sesi rawatan awal psikososial (PFA) itu anak-anak dihiburkan dengan aksi silap mata, senaman dan aktiviti mewarna kertas lukisan khas itu.
Aktiviti PFA yang sepatutnya khas untuk kanak-kanak turut disertai ibu bapa yang menemani anak-anak masing-masing, malah ada antara mereka turut mewarna lukisan Upin dan Ipin dari awal hingga ke akhir.

“Aktiviti psikososial akan dapat mitigasi trauma yang mungkin dialami anak-anak mangsa gempa,” kata Ashraff, 37, yang aktif dalam misi di zon konflik dan bencana sebelum menyertai misi kemanusiaan Imaret.
Sebelum ini, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) cuba membawa Upin dan Ipin ke sini dengan menghubungi pemilik karekter kartun popular itu Les’ Copaque Production dari Malaysia.
Di Indonesia, kartun Upin dan Ipin adalah fenomena dan amat diminati kanak-kanak di bandar hinggalah ke desa.
Insiden gempa hujung bulan lalu memasuki fasa baik pulih dengan tumpuan utama kepada mendayakan semula kehidupan masyarakat dan menangani masalah trauma di kalangan mangsa gempa.
Gempa dan tsunami yang menggemparkan Sulawesi Tengah, Indonesia, pada 28 September lalu menjejaskan lebih 220,000 penduduk, lebih 4,600 cedera teruk dan 2,105 disahkan terkorban. – K! ONLINE










