Iman Care teruskan bantu pelarian Syria - Utusan Malaysia

Iman Care teruskan bantu pelarian Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 20 Okt. – Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Cakna Darul Iman (Iman Care) meneruskan komitmen dalam meringankan penderitaan 25,000 pelarian Syria dekat wilayah Hatay, Turki menerusi misi bantuan musim sejuk yang digerakkan bermula hari ini hingga 29 Oktober.

Ketua delegasi, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, inisiatif dengan disertai 14 sukarelawan yang merupakan tradisi tahunan pertubuhan itu sejak enam tahun lalu bertujuan membantu kumpulan pelarian mempersiapkan diri terutama dalam menghadapi musim sejuk melampau.

Katanya, selain menghulurkan bantuan barangan seperti baju sejuk, selimut, bahan pemanas, makanan dan perubatan, misi kali ini turut membawa tiga matlamat utama termasuk kunjungan ke institusi anak yatim dan pusat tahfiz di samping mengadakan simposium mini khusus buat pelarian.

“Kita juga akan bertemu dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Turki, Cansuyu yang menyantuni pelarian Gaza.

“Apabila masuk bulan Disember suhu di sana boleh mencecah sehingga 0 darjah selsius yang merupakan paras beku jadi adalah penting untuk mereka memiliki bahan pemanas di khemah masing-masing di samping barangan makanan yang dibekalkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa majlis pelepasan misi bantuan itu yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini petang tadi.

Misi bantuan musim sejuk itu turut disokong 13 NGO lain antaranya Sabasun, Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI), Pertubuhan Cakna Sahabat Iman Terengganu (Sahabat Iman) dan Pertubuhan Kebajikan & Pembangunan Insan Kelantan.

Menurut Dr. Suhazeli, Iman Care berjaya mengumpul dana mencecah RM400,000 yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai termasuk menerusi tabung kutipan derma yang diletakkan di pasar raya, Sabasun Hyperruncit bagi menjayakan misi bantuan tersebut.

Dalam pada itu, Yahaya menyambut baik inisiatif Iman Care yang berusaha keras mencari dana bagi membantu umat Islam Syria yang tidak bernasib baik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN