ICERD tidak jejas Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan - Utusan Malaysia

ICERD tidak jejas Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berkata, kerajaan juga tidak terburu-buru untuk meratifikasikan ICERD serta akan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan berkenaan perkara tersebut.

“Selaras dengan komitmen kita kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan meningkatkan hak asasi manusia, dinasihatkan untuk meratifikasi tetapi dengan syarat dan memastikan Perlembagaan Persekutuan ditegakkan,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

Sebelum ini Waytha Moorthy dilaporkan berkata, kerajaan akan meratifikasikan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Perkara tersebut mendapat bantahan banyak pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang definisi dan skop ICERD bertentangan serta bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan selain menyaksikan penghapusan institusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Dalam pada itu, Waytha Moorthy turut memberi jaminan bahawa institusi seperti Mara dan agensi lain yang berperanan mengangkat masyarakat bumiputera tidak terjejas dengan ratifikasi ICERD.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menjaga semua peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri, Tun. Dr Mahathir Mohamad yakin bahawa Pakatan Harapan akan mempertahankan agenda bumiputera dan melindungi hak Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN