KUALA LUMPUR 31 Okt. – Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disifatkan sebagai satu malapetaka.
Pandangan itu dizahirkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tun Man yang menjelaskan tindakan meratifikasi konvensyen antarabangsa tersebut bakal mengubah tiang seri pembentukan Malaysia.
“Kalau kerajaan terima (ratifikasi), saya fikir mobilisasi besar rakyat akan berlaku kerana implikasinya bukan hanya kepada orang Islam sahaja, tetapi tetmasuk Sabah, Sarawak, hak istimewa bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.
Tuan Ibrahim berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu, Tuan Ibrahim serta beberapa wakil rakyat Pas mengiringi Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemu dengan peserta himpunan membantah ICERD dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di laluan masuk bangunan Parlimen dan menerima memorandum bantahan daripada kumpulan tersebut. – UTUSAN ONLINE










