PUTRAJAYA 29 Okt.- Datuk Ibrahim Ali terkejut dengan keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada minggu lalu.
Malah Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, beliau turut menyangka Mustapa adalah individu terakhir yang keluar UMNO selepas parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Semua orang kenal dia, sebab dia sudah lama dalam UMNO, lagi pun ramai ingat dia bersih, tetapi bila lompat bersih, maka adalah sebaliknya.
“Kemasukan beliau ke Bersatu tidak memberi kesan kepada politik Kelantan, kerana sepanjang dia mengetuai UMNO di negeri itu, kerusi UMNO tidak pernah bertambah, tetapi terus sedikit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Ibrahim memaklumkan, pihaknya yakin Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan meluluskan pendaftaran Putra selewat-lewatnya hujung November ini.
Katanya, beberapa perkara termasuk soal pelembagaan Putra sedang diperhalusi kedua-dua bagi memastikan pendaftaran parti itu berjalan lancar.
“Masa zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), pendaftaran Bersatu hanya mengambil masa sebulan, maka sudah tentu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kena awal lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE









