KANGAR 19 Okt. – Masalah hutang dan kos sara hidup kemungkinan antara punca tiga sekeluarga ditemukan mati lemas di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat dekat sini semalam.
Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd., berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kes tersebut termasuk dakwaan mengatakan kesemua mangsa meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan.
Menurut beliau, berdasarkan rakaman percakapan mangsa keempat berusia 37 tahun yang dijumpai selamat di Sungai Petani, Kedah, mereka melakukan perbuatan itu kerana dipercayai akibat tekanan perasaan berkaitan masalah hutang serta kos sara hidup.
“Pihak polis akan menunggu laporan bedah siasat yang telah dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar semalam untuk mengetahui punca sebenar kematian ketiga-tiga ahli keluarga tersebut.
“Kesemua ahli keluarga itu datang ke kawasan berkenaan dengan menaiki kereta api dari Sungai Petani dan memilih lokasi tersebut kerana merupakan kampung kelahiran ibunya berusia 64 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini selepas polis mendapatkan permohonan tersebut daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri dan Seksyen 35(e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 kerana menyembunyikan kematian.
Semalam, akhbar melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.










