KOTA BHARU 21 Okt. – Sudah tiga bulan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tidak mempunyai pakar jantung selepas pakar yang sedia ada sebelum ini bersara wajib.

Ketiadaan pakar jantung itu membimbangkan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik Orang Kota Bharu apabila memikirkan nasib pesakit-pesakit berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
Tambahan pula, ada dalam kalangan pesakit-pesakit jantung ini terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan memerlukan rawatan dengan kadar segera.
Justeru Pengerusi yayasan tersebut, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berharap kerajaan dapat memberikan keutamaan terhadap perkara tersebut.
“Amatlah malang sekiranya kemudahan terbaik yang ada di HRPZ II ini tidak dapat digunakan demi kepentingan rakyat.
“Saya akui, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian turut mempunyai kemudahan ini, namun ia tidak cukup untuk menampung keperluan pesakit,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pesakit memerlukan rawatan segera bagi memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik. – UTUSAN ONLINE










