PORT DICKSON – Sebuah hotel di daerah ini diserbu anggota penguat kuasa Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Sabtu lalu kerana disyaki mencuri bekalan air untuk kegunaan premis berkenaan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, operasi di premis tersebut dijalankan selama tujuh jam bermula pukul 10 pagi dengan kerjasama penguat kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menurutnya, serbuan dilakukan di hotel itu yang turut menyediakan perkhidmatan sewa tapak perkhemahan di samping mempunyai sebuah kafe dan surau.
“Ketika serbuan dilakukan, pihak penguat kuasa mendapati penghuni premis telah melakukan penyambungan tanpa kebenaran selepas pemotongan bekalan air akibat tunggakan tinggi sebanyak RM37,000.
“Berdasarkan rekod Sains, hotel ini telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan air sebanyak tujuh kali sejak tahun 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norzita memaklumkan, siasatan di lokasi mendapati terdapat dua sambungan haram dilakukan oleh penghuni premis.
Jelasnya, sambungan pertama dibuat menggunakan paip jenis Unplasticized Venyl Chloride bersaiz 25 milimeter (mm), manakala sambungan kedua menggunakan paip High Density Poly Ethlene bersaiz 25mm.
“Air daripada sambungan pertama disalurkan ke tapak perkhemahan dan digunakan di tandas, bilik mandi dan kafe. Sambungan kedua pula menyalurkan air kepada 11 tangki air berhampiran hotel,” ujarnya.
Tambahnya, SPAN kemudian menyita paip-paip yang digunakan di lokasi sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada penghuni premis berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE










