LONDON 31 Okt. – Wayne Rooney menggesa bintang Manchester United untuk menunjukkan lebih rasa hormat terhadap kelab mereka yang kini dilanda masalah.
United berada di kedudukan kelapan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) turut bermula dengan langkah kiri dalam kempen Liga Juara-Juara.
Kemenangan 2-1 ke Everton minggu lalu memberi keceriaan di Old Trafford dengan pengurus United, Jose Mourinho yang kini berada di dalam tekanan berikutan prestasi pasukan yang hambar selain beberapa pemain utama beraksi di bawah tahap sebenar.
Rooney yang memegang rekod penjaring terbanyak Red Devils sebelum meninggalkan kelabnya itu tahun lalu, percaya perlaburan United mendapatkan pemain bintang terkemuka perlu dibalas dengan mempamerkan aksi bermaruah dan bersemangat tanpa mengambil kira isu yang dihadapi dengan Mourinho.
“Jelas mereka berada dalam waktu sukar di saat ini namun Jose Mourinho berpengalaman dan saya fikir sesetengah pemain perlu menunjukkan aksi yang lebih baik.
“Berdasarkan pengalaman, saya tidak pernah tengok atau dengar pemain tidak mahu bermain hanya disebabkan mereka tidak sehaluan dengan pengurus.
“Saya tidak fikir sebagai pemain anda boleh melakukannya, anda perlu menghormati kelab dan peminat dan rakan sepasukan.
“Saya tidak fikir mana-mana pemain di Manchester United tidak akan bermain kerana Jose, saya yakin mereka semua bekerja keras untuk mendapatkan keputusan,” katanya. – AFP










