Hormat dan muafakat jiran tetangga - Utusan Malaysia

Hormat dan muafakat jiran tetangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIRAN adalah golongan yang sangat dekat dengan kita dan berbuat baik terhadap mereka adalah dituntut dalam agama islam. Mereka boleh menjadi `saudara’ paling awal hadir jika kita ditimpa musibah, namun jiran juga boleh menjadi ‘musuh’ jika kita tidak berbuat baik dengan mereka.

Menurut hadis daripada Ibnu Umar dan Aisyah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jibril sentiasa memesan kepada aku supaya berbaik-baik dengan jiran hingga aku menyangka bahawa Jibril akan menetapkan hukum pusaka antara sesama jiran”.

Berdasarkan hadis ini, ia jelas menunjukkan jiran tetangga perlu dimuliakan seperti ahli keluarga sendiri. Namun, kesibukan bekerja dan urusan lain menyebabkan ruang untuk berhubung dengan jiran menjadi semakin berkurangan, malah tidak mengejutkan jika sebahagian daripada masyarakat hari ini tidak mengenali jiran mereka sendiri.

Kewujudan kawasan perumahan yang lebih peribadi dan tertutup yang terdapat di bandar-bandar besar sekarang ini juga menjadikan ruang berhubung dengan jiran juga semakin berkurangan. Malah, ada di antara kita yang memilih kawasan perumahan sedemikian bagi mengelak sikap terlalu ambil tahu daripada golongan ‘makcik-makcik bawang’.

Status Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 8 Oktober lalu berkaitan hal jiran ini mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ia disambut baik walaupun ada komen-komen lucu dan nakal di laman-laman sosial tentang perkara ini.

PDRM memaklumkan bahawa jiran yang membuat perlakuan bising yang keterlaluan seperti bermain mercun, membunyikan motor dengan kuat, bergelak ketawa dengan kuat, memasang muzik secara kuat sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh didakwa di bawah Seksyen 13(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. Secara peribadi, penulis merasakan laporan adalah jalan penyelesaian terakhir jika teguran dan nasihat secara berhemah sudah tidak berkesan lagi. Perlakuan jiran tetangga yang keterlaluan ini, boleh mengundang bahaya kepada mereka sendiri jika tidak dikawal. Sebagai contoh, pada 30 Mei 2018, seorang lelaki tidak dapat menahan sabar apabila bertindak menikam lima orang jirannya yang selalu berbuat bising membunyikan enjin motosikal.

Tindakan tersebut dibuat apabila teguran beliau tidak diendahkan oleh kelima-lima mangsa. Di London pula, seorang pegawai bank, Sarvenaz Fouladi, menyaman jiran di atas tingkat kediamannya kerana bising dan berjaya memenangi RM539,867 pada Mac 2018. Dia mendakwa anak-anak jirannya bising seperti di taman permainan dan berlari di atas lantai kayu selama berjam-jam.

Tulisan saudara Johardy Ibrahim yang disiarkan di Mingguan Malaysia pada 24 September 2017, yang menyenaraikan 10 petua jiran dari neraka boleh dijadikan panduan. Ia mungkin sinikal, namun mempunyai asas yang boleh diguna pakai sebagai jiran bagi mengelak perkara-perkara seperti liat membayar yuran keselamatan, parking kereta depan rumah, tanam pokok melampaui sempadan, tanam pokok akar timbul, tidak membuka lampu rumah dan banyak lagi.

Amalkan komunikasi berkesan dengan jiran-jiran bagi mengelakkan berlaku salah faham dan pergaduhan. Jadilah individu yang menghormati hak orang lain untuk hidup selamat, aman dan damai. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan/Koordinator Institut Pendidikan NEO (iNED), UiTM Cawangan Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN