KUALA LUMPUR 22 Okt. – Walaupun akan beraksi dengan status underdog namun ketua jurulatih skuad negara, Bojan Hodak tetap mahu mencari kemenangan pertama apabila menentang Tajikistan dalam perlawanan kedua Kumpulan D, Kejohanan Bawah 19 AFC 2018 di Stadium Patriot Candrabhaga, Jakarta esok.
Pengendali dari Croatia itu mengakui Tajikistan merupakan antara pasukan terkuat di rantau Asia namun dia tidak mahu mensasarkan sekadar mendapatkan satu mata sebaliknya berusaha mencari tiga mata pertama selepas pasukannya tumpas 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan kumpulan.
“Teori saya adalah setiap perlawanan kami bermain untuk menang, jadi setiap perlawanan tidak kira peringkat apa pun saya berusaha untuk menang. Ya, satu mata bagus sebab tidak kalah tetapi pada penghujungnya jika anda bermain untuk mendapatkan satu mata, anda akan kalah.
“Jadi, bagi saya, kami akan keluar dan berusaha untuk mendapatkan kemenangan. Sekiranya kami memperoleh satu mata, kami tidak berasa terlalu kecewa.
“Walau bagaimanapun, seperti yang saya telah katakan, kami akan memberi usaha terbaik dan apa yang penting adalah kami memberikan aksi penuh kapasiti,” katanya kepada Utusan Malaysia apabila dihubungi.
Mengulas lanjut mengenai kekuatan lawan, jurulatih berusia 47 tahun itu berkata saiz fizikal pemain Tajikistan tidak menjadi masalah utama sebaliknya kekuatan, kepantasan dan teknik yang dimiliki oleh mereka menjadi cabaran utama.
“Walau bagaimanapun, perlawanan menentang Arab Saudi tempoh hari memberi keyakinan kepada pemain kerana mereka sudah membuktikan walaupun beraksi sebagai pasukan bukan pilihan namun mereka masih berupaya bersaing jika bermain dengan baik,” katanya lagi.
Tambahnya, setakat ini terdapat empat atau lima pemain yang mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang Arab Saudi pada Sabtu lalu namun Hodak berkata tahap keseriusan masalah mereka belum dapat dipastikan.
“Saya harap semua pemain akan kembali cergas untuk menghadapi Tajikistan. Saya boleh tahu lewat hari ini untuk mengetahui pemain mana yang tidak dapat diturunkan esok dan mungkin akan ada satu atau dua pertukaran,” katanya.











