KUALA LUMPUR 30 Okt. – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menafikan spekulasi kononnya beliau merupakan antara 40 ahli Parlimen UMNO yang dikatakan akan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Sembrong mengulangi pendiriannya bahawa akan kekal setia dan tidak akan meninggalkan UMNO.
“Saya sudah nyatakan beberapa kali bahawa saya tidak akan keluar parti. Ada pepatah dalam bahasa Inggeris yang menyebut `Action speaks louder than words’. Jadi, tindakan saya hari ini mana ada keluar parti,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa, kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO dikatakan akan keluar parti dan menyertai Bersatu.
Dakwa beliau, mereka sudah pun beberapa kali berjumpa Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu. – UTUSAN ONLINE










