Henti keluar permit - Utusan Malaysia

Henti keluar permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 25 Okt. – Kerajaan negeri Pahang dan Perak diminta menghentikan pengeluaran permit baharu bagi penerokaan tanah untuk tujuan pembangunan serta pertanian di Cameron Highlands.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, aktiviti penerokaan perlu dihentikan serta merta kerana kejadian tanah runtuh sering berlaku di kawasan tanah tinggi itu sejak kebelakangan ini.

Katanya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah menitahkan kepada beliau supaya kelulusan untuk semua aktiviti pemba­ngunan dan pertanian di kawasan tanah tinggi berhampiran sempadan Perak dihentikan segera.

“Kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands sudah biasa berlaku sekarang ini disebabkan penerokaan tanah yang sema­kin berleluasa.

“Saya meminta kerjasama daripada kedua-dua kerajaan negeri agar sering melakukan pemantauan di kawasan tanah tinggi tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Geopark Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan yang disempurnakan oleh Sultan Nazrin Shah di Taman Reakreasi Gunung Lang di sini, hari ini.

Xavier berkata, kajian kestabilan kawasan tanah tinggi itu perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum tindakan susulan yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua negeri.

“Ini bagi memastikan kelestarian alam semula jadi di Cameron Highlands dapat dipelihara sekali gus tidak lagi terjejas dengan sebarang aktivi­ti penerokaan.

“Kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada kedua-dua negeri untuk menstabilkan kawasan itu daripada berlakunya kejadian tanah runtuh selain kerajaan negeri perlu menguatkuasakan segala aspek undang-undang di Cameron Highlands,” katanya.

Semalam, satu lagi kejadian ta­nah runtuh berlaku di Batu 51, Kuala Terla menyebabkan jalan utama dari Kampung Raja ke Cameron Highlands terpaksa ditutup sementara bagi tujuan pembersihan sebelum dibuka semula untuk kenderaan pada pukul 8.55 malam.

Pada 14 Oktober lalu, tiga warga Myanmar maut ekoran kejadian tanah runtuh, juga di Kampung Tiga, Terla. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN