LEICESTER, Britain – Sebuah helikopter milik bilionair Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha (gambar) terhempas berhampiran stadium kelab bola sepak Liga Perdana England miliknya, Leicester City kelmarin.
Helikopter itu dilihat terbakar dalam imej telefon pintar dari lokasi kejadian, manakala seorang jurugambar agensi berita AFP kemudian menyaksikan asap keluar dari bangkainya.
Helikopter itu terhempas sejurus setelah berlepas dari tempat letak kereta berhampiran Stadium King Power selepas perlawanan Leicester City menentang West Ham kelmarin.
“Perkhidmatan kecemasan kini (semalam) berada di Stadium King Power yang mana sebuah pesawat terhempas di sebuah tempat letak kereta,” kata polis.
Vichai yang melabur berjuta-juta pound sterling untuk kelab berkenaan, kerap kali menaiki helikopternya apabila menyaksikan perlawanan Leicester City di tempat sendiri. Bagaimanapun, belum ada pengesahan sama ada beliau berada di dalam helikopter terhempas itu.
Identiti juruterbang dan penumpang helikopter juga masih belum disahkan. Pihak berkuasa juga masih belum mendedahkan sama ada terdapat mangsa yang terbunuh atau cedera di tempat letak kereta tersebut.
Sementara itu, agensi berita Reuters melaporkan bahawa Vichai merupakan antara lima orang yang berada di dalam helikopter malang tersebut.
Reuters memetik sumber yang rapat dengan kelab bola sepak berkenaan sebagai berkata, turut menaiki helikopter itu ialah dua anak perempuan Vichai, dua juruterbang dan individu kelima yang identitinya belum diketahui.
Sumber sama menyatakan bahawa tiada pengesahan sama ada terdapat mangsa terselamat dalam kemalangan itu.
Vichai, 60, yang mempunyai empat orang anak, mengasaskan firma bebas cukai King Power International. Beliau membeli kelab bola sepak itu pada tahun 2010. – AFP/Reuters










