Hebatnya solat duha - Utusan Malaysia

Hebatnya solat duha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOLAT adalah amalan terawal yang akan dihisab dan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sudah tentu, solat fardu lima waktu adalah ibadah yang sangat dituntut kerana merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Namun begitu, dalam kewajipan kita menunaikan solat fardu yang diperintahkan oleh Allah kepada semua umat manusia, terdapat solat-solat sunat lain yang mempunyai fadilat iaitu kelebihannya tersendiri, antaranya solat sunat duha.

Solat duha ialah solat sunat yang dilakukan dalam waktu duha iaitu bermula dari terbitnya matahari hingga sebelum matahari berada di tengah-tengah. Untuk lebih mudah, waktu solat duha adalah kira-kira antara pukul 7.30 pagi – 11 pagi waktu tempatan. Walaupun ada beberapa pendapat berkaitan dengan waktunya, mudah bagi kita untuk mengambil waktu yang lazim iaitu sekitar pukul 8 pagi hingga 10 pagi.

Semestinya solat sunat duha ini mempunyai fadilatnya tersendiri kepada setiap manusia yang mengerjakannya. Apatah lagi jika dilakukan dengan penuh kesungguhan semata-mata kerana Allah SWT. Disebutkan banyak kelebihan dan keutamaannya dalam beberapa hadis, antaranya dalam satu hadis yang panjang iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing kamu untuk setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang dadanya. Maka setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, mencegah dari kemungkaran adalah sedekah dan sebagai dari ganti itu semua cukuplah dengan mengerjakan dua rakaat duha.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Solat duha merupakan solat sunat yang digalakkan untuk dilaksanakan secara sendirian dalam waktunya tidak kira sama ada dalam kalangan muslimin ataupun muslimat. Namun begitu, beberapa perkara salah faham perlu dilihat dan diberikan penjelasan yang sebaiknya kepada masyarakat kini. Salah faham utama yang berlaku kini adalah melibatkan tujuan utama seseorang itu mendirikan solat sunat duha. Ini kerana, ada sebilangan masyarakat Islam yang mengerjakan solat ini dengan niat untuk mencapai kekayaan dan kemewahan. Ini adalah sangat bertentangan dengan fadilat solat tersebut dikerjakan. Perlu diingat, tujuan kita melakukan solat duha ini adalah semata-mata sebagai bukti kita mensyukuri serta peringatan atas rezeki yang telah Allah SWT limpahkan kepada kita selama ini. Tidak kira bentuk rezeki yang telah diberikan, kita wajib mensyukurinya dalam apa jua keadaan dan salah satu caranya adalah dengan mengerjakan solat.

Sebagai tambahan, jumlah rakaat solat duha ini tidak seperti solat-solat fardu yang telah ditentukan jumlah rakaatnya. Justeru, solat ini tidak mempunyai jumlah rakaat yang ditentukan untuk dilaksanakan dan tidak ada juga keterangan hadis yang menyatakan secara terperinci jumlah rakaatnya. Namun begitu, dalam beberapa keterangan riwayat hadis yang mengisahkan tentang rakaat solat ini, ia dapat dilakukan dengan dua rakaat sehingga 12 rakaat mengikut beberapa keterangan hadis. Antaranya, dari Abu Hurairah r.a berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku dengan tiga perkara; puasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat solat duha dan solat witir sebelum tidur.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Begitu juga dalam satu hadis yang lain iaitu seorang bernama Mu’adzah bertanya kepada Aisyah r.a. “Berapa rakaat Rasulullah SAW solat duha?” Aisyah menjawab: “Empat rakaat dan menambah mengikut kehendak beliau.” (Hadis riwayat Muslim)

Di samping itu, kita dianjurkan untuk sentiasa berzikir kepada Allah SWT sebagai salah satu tanda kesyukuran kita dan sentiasa mengingati kepada Maha Pencipta. Dengan sebab itu, solat duha bersama solat-solat sunat yang lain adalah sangat dituntut untuk kita mengerjakannya. Namun perlu diingat, dalam masa yang sama jangan sesekali kita meninggalkan solat fardu yang wajib dikerjakan oleh setiap muslim. Jika tidak, ia menjadi sia-sia kerana yang wajib ditinggalkan semata-mata kerana sunat seperti pepatah mencurahkan air ke daun keladi. Sedangkan mendahulukan yang wajib adalah utama, kemudian disusuli dengan perkara-perkara sunat. Dengan cara itu, barulah sempurna ibadah seseorang mengikut perkara mana yang perlu didahulukan.

Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama memperbanyakkan amalan-amalan sunat bagi menambah pahala daripada amalan wajib yang telah kita lakukan termasuk mendirikan solat sunat duha.

Luangkanlah masa seharian sekitar beberapa minit sahaja bagi mengerjakan solat ini agar kita memperoleh keberkatannya bersama. Yakinilah bahawa setiap amalan yang baik itu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah di akhirat kelak nanti. Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 36 yang bermaksud: “Di rumah-rumah yang diizinkan oleh Allah untuk ditinggikan dan disebut nama-Nya, bertasbihlah kerana Allah di dalamnya pada waktu pagi dan petang.”

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM, Kampus Segamat, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN