Hati-hati beli di Facebook walaupun bayaran COD - Utusan Malaysia

Hati-hati beli di Facebook walaupun bayaran COD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Seorang pengguna Facebook hari ini menasihatkan pengguna laman sosial itu supaya berhati-hati dengan tawaran harga murah bagi produk-produk popular, walaupun bayaran pembelian tersebut boleh dilakukan secara ‘bayar selepas terima’ atau COD.


Rafina Efi Fauzi, menegaskan sesiapa yang ingin membeli peralatan tersebut perlu berhati-hati kerana sudah ramai yang terkena.

“Barang lain yang dibeli tetapi dapat barang yang berharga RM5. Memang boleh buat pembayaran tunai sewaktu penerimaan (COD) tetapi selepas membayar barang dan buka barang.. Tadaaa.. (barangan lain yang diterima).

“Mana-mana yang ternampak iklan yang bertaja sebegini janganlah cepat percaya,” tulisnya menerusi sebuah perkongsian di laman Facebook miliknya.

Rafina ketika dihubungi Utusan Online mendakwa rakannya, Farina Irwani Saibi pernah membeli peralatan tersebut yang berupa gadjet pengimbang telefon empat paksi berdasarkan iklan yang dinyatakan namun setelah barangan diterima, ia begitu menghampakan.

Rafina Efi Fauzi

Farina berkata, dia amat geram kerana laman web untuk pembelian gadjet tersebut kelihatan begitu asli termasuk mempunyai pilihan untuk membuat bayaran selepas menerima barang.

“Sebelum buat keputusan untuk membeli peralatan tersebut, saya ada membuat carian di Google termasuk di laman Lazada serta Shopee namun tiada satu pun produk yang ditampilkan atas jenama yang diiklankan .

“Tetapi disebabkan teruja dengan gajet tersebut, saya terus menempahnya secara COD,” katanya.

Farina berkata, dia tidak teragak-agak melaporkan kepada Facebook jika terjumpa mana-mana laman Facebook yang mencurigakan.

“Nasihat saya, pilihlah syarikat yang berdaftar. Dapatkan penilaian tentang penjual tersebut terlebih dahulu daripada orang ramai sebelum membelinya dan jika ia terlalu bersih (tiada sebarang ulasan), boleh lupakan niat untuk membelinya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN