Hasil siasatan punca 6 bomba lemas umum hujung tahun - Utusan Malaysia

Hasil siasatan punca 6 bomba lemas umum hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG 21 Okt.- Laporan penuh siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi yang mengorbankan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lombong Taman Putra Perdana akan diumumkan sebelum hujung tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Mohamad Hamdan Wahid berkata, buat masa ini siasatan masih berlangsung oleh satu jawatankuasa bebas yang dianggotai oleh ahli akademik, pakar menyelamat air dan golongan profesional.

“Jawatankuasa ini bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak, malah tiada mana-mana wakil JBPM terlibat dalam siasatan ini.

“Siasatan masih berjalan dan hasilnya akan diumumkan serta terbuka kepada orang ramai. Kita bersedia menerima sebarang kemungkinan daripada hasil laporan ini ,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Kejohanan Sukan Empat Penjuru (Sukep) Kali Ke-10 di Institut Penilaian Negara (Inspen) di sini hari ini.

Majlis Penutup itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Pada 3 Oktober lalu, kesemua enam anggota bomba itu dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor mati lemas akibat dibawa arus deras.

Mereka terkorban ketika misi mencari dan penyelamat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang tergelincir dari sebuah jambatan berhampiran lombong itu kira-kira pukul 5.30 petang.

Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN